Bagai mengharap bulan jatuh ke riba. Ungkapan yang paling sesuai menggambarkan situasi Sakura saat ini. Bagai kaca terhempas ke batu. Ungkapan yang paling sesuai menggambarkan perasaan Sakura ketika ini.
Yuki seorang lelaki yang baik hati? Sakura sangat berharap dia dapat menarik semula kata-katanya itu. Mahu sahaja dia mencipta mesin masa dan kembali ke 15 jam 24 minit dan 17 saat yang lalu agar dia tidak mengatakan Yuki seorang lelaki yang baik hati.
Dipendekkan cerita, seorang lelaki yang baik hati sama sekali tidak akan mengejutkan seorang gadis 17 tahun yang sedang nyenyak tidur dengan mengetuk senduk pada belakang kuali. Tidak ada mana-mana lelaki yang baik hati yang melayan tetamu seperti seorang tebusan. Jadi, dalam erti kata lain yang tidak dapat dijelaskan dengan ayat yang berbeza ialah Yuki bukan seorang lelaki yang baik hati.
Mendengar bunyi senduk yang diketuk pada belakang kuali pada waktu pagi benar-benar telah memberi gambaran yang sangat jelas pada Sakura bahawa harinya akan menjadi sangat buruk. Sebaik sahaja membuka matanya, sinaran matahari yang terik di tingkap menyapa Sakura dan mengucap hello dengan caranya tersendiri.
Sakura segera menutup matanya semula. Tidak ada maknanya sekiranya dia bangun pada waktu begini. Melihatkan keadaan itu, Yuki mengambil jam loceng di atas meja sisi. Jarum jam diputar sehingga loceng yang benar-benar nyaring berbunyi. Yuki tanpa segan-silu dan dengan perasaan penuh keyakinan meletakkan jam loceng yang berbunyi nyaring itu betul-betul di telinga Sakura.
Sakura terus terduduk. Dia masih lagi seperti berada di alam mimpi. Setelah melihat sekeliling barulah dia sedar yang dia berada di dunia nyata dan baru sahaja dikejutkan dengan dua cara yang paling kejam yang pernah difikirkan oleh mana-mana manusia di dalam dunia ini. Atau mungkin memang wujud manusia yang hanya boleh dikejutkan dengan cara itu?
"Boleh awak terangkan pada saya apa makna semua ini?"
Sakura mencebik. Yuki buat muka selamba.
"Makna apa?"
"Makna apa awak tanya saya? Pada waktu pagi yang sepatutnya indah ini, saya dikejutkan dengan dua cara yang sangat kejam. Mengetuk senduk pada kuali dan meletakkan jam loceng yang nyaring betul-betul di sebelah telinga saya. Itu yang awak tanya pada saya makna apa?"
Mendengar celoteh Sakura tanpa henti menyebabkan Yuki ketawa sepuas-puasnya. Yuki mencapai semula jam loceng itu dan memberikannya pada Sakura.
"Pembetulan Cik Sakura. Kalau awak tengok betul-betul, sekarang ini sudah hampir pukul satu petang tahu? Dua cara yang paling kejam? Awak tahu tak yang saya sudah kejut awak sejak pukul 10 pagi tadi dengan bermacam-macam cara? Dua cara ini adalah usaha saya yang terakhir."
Sakura terdiam. Bermakna memang wujud manusia yang hanya boleh dikejutkan dengan cara itu dan dirinya tergolong dalam kumpulan itu. Sudahnya Sakura malu sendiri. Cuma tinggal dua usaha yang terakhir? Bahagian itu memang benar-benar mengggelikan hatinya dengan cara yang tersendiri.
"Sakura. Sampai bila awak nak terus tersengih di situ. Tak ubah macam kerang busuk kat pasar saya tengok."
Sakura ternganga. Kerang busuk? Melampau.
"Oh ya. Saya baru teringat sesuatu. Saya perlu keluar sebentar. Ada urusan penting yang mesti diselesaikan. Saya akan balik sebelum waktu makan malam nanti. saya nak awak masak makan malam untuk saya."
Yuki terus memakai kasutnya dan melangkah keluar sebelum sempat Sakura membantah. Apa yang baru sahaja selesai dikatakan oleh Yuki bagai telah memberi tamparan hebat pada Sakura. Memasak? Sejujurnya, ada tiga masalah yang memang akan dihadapi oleh dirinya dan sekaligus melibatkan Yuki.
Pertama, di rumah agam Taeko, Sakura hanya perlu minta dan segala-galanya akan disediakan untuknya. Kedua, ini adalah kali pertama Sakura menjejakkan kakinya ke satu tempat di bahagian rumah yang dipanggil dapur. Ketiga, sangat jelas dari dua masalah sebelum ini menunjukkan yang masalah ketiga ialah Sakura tidak tahu memasak sama sekali dan jika benar-benar dia terus memasak, dia dan Yuki mungkin akan mati kerana keracunan makanan.
Sakura melepaskan keluhan berat.
"Saya nak awak masak makan malam untuk saya. Fikir dia siapa?"
Sakura memandang sekelilingnya. Sekali pandang, dia kelihatan seperti makluk asing dari planet lain yang baru sahaja mendarat di bumi dengan UFO dan kebetulan tinggal di rumah seorang lelaki bernama Yuki. Sempurna, Sangat sempurna. Tiba-tiba Sakura terfikir sesuatu.
"Adakah dia cabar aku? Dia fikir aku anak orang kaya yang manja dan tidak tahu memasak? Walaupun sebenarnya itu memang satu kenyataan tetapi Yuki tetap tidak berhak untuk mencabar aku sebegitu. Tengoklah Yuki. Aku akan masak sesuatu yang akan membuat kau betul-betul terkejut."
Sakura tersenyum lebar. Dia yakin jika dia berusaha pasti dia boleh melakukannya. Sakura mula memasak. Apa yang menghairankan, perilaku Sakura tidak ubah seperti seorang tukang masak profesional. Bau masakannya benar-benar membuat perutnya berkeroncong. Melihatkan hidangan yang sedia terhidang di atas meja Sakura tersenyum sendirian dan bangga dengan dirinya sendiri kerana berjaya melaksanakan cabaran tanpa sebarang masalah.
Siapa kata dia tidak boleh menyelesaikan masalahnya sendiri? Mesti Yuki akan ternganga lebar melihat semua usahanya. Mungkin lelaki kejam itu akan melutut di hadapannya dan memohon maaf padanya. Sakura membayangkan situasi yang akan terjadi nanti. Satu-satunya tugas yang tinggal untuk Sakura adalah untuk merasa hidangan-hidangan ini. Sakura menggunakan penyepit untuk mengambil sepotong daging.
"Berhenti!"
Sakura terperanjat. Daging yang dipegangnya terlepas mendengar suara Yuki yang menyuruhnya berhenti secara tiba-tiba. Yuki termengah-mengah berlari ke sisi Sakura.
"Sakura. Apa yang awak cuba lakukan?"
Sakura masih lagi terpinga-pinga mencerna apa yang sedang berlaku.
"Cuba untuk merasa hidangan yang saya masak?"
Yuki merampas penyepit dari tangan Sakura dan terus mengambil sepotong daging dan menyuapkan daging itu ke dalam mulutnya. Sakura terus menanti. Muka selamba Yuki menyukarkan Sakura untuk membaca mindanya. Sakura benar-benar tertekan dan terliur melihat Yuki yang mengunyah daging itu dengan bersungguh-sungguh. Yuki tiba-tiba mengusap kepala Sakura sambil tersenyum.
"Tahniah, Sakura. Awak sudah lakukan yang terbaik."
Kali ini mulut Sakura spontan ternganga dengan lebih luas. Keadaan yang jelas berbeza dari apa yang dibayangkannya sebentar tadi. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Hatinya seperti sedang menari tarian Rumba. Apa makna semua ini? Yuki terus tersenyum.
"Oleh sebab awak berjaya memasak sesuatu yang sangat sedap, saya akan makan semua hidangan yang awak masak."
"Habis awak nak biar saya kebulur?"
Sekarang Sakura tidak puas hati. Melampau. Kejam.
"Saya tak rasa yang saya kejam. Saya ada belikan sushi untuk awak. Saya fikir apa yang awak masak akan bertukar menjadi sesuatu yang tidak dapat dimakan oleh manusia tetapi nasib baik keadaan tidak jadi seteruk itu. Makanlah."
Sakura mencebik. Melihat Yuki yang bersungguh-sungguh makan hidangan yang dimasaknya, Sakura benar-benar ingin tahu apa rasa hidangannya. Mungkinkah keajaiban benar-benar telah berlaku? Sebaik sahaja Yuki selesai makan, dia terus melangkah ke dalam bilik dan mengunci pintu bilik itu.
Secara tidak langsung Sakura sedikit terharu kerana Yuki menghabiskan hidangan pertama yang dimasaknya sehingga licin. Tidak ada lebihan walau sedikit. Sakura juga tidak puas hati kerana dia tidak dapat merasa hidangannya sendiri.
* * * * * *
Sakura risau. Lima jam telah berlalu namun Yuki langsung tidak keluar dari biliknya itu. Tiada sebarang suara atau apa-apa bunyi yang dihasilkan oleh Yuki dari dalam biliknya itu. Hidup lagikah manusia itu? Sudahnya Sakura memberanikan diri mengetuk pintu bilik itu dan memanggil Yuki. Berkali-kali namun tidak ada jawapan langsung.
Ini lebih menambah kerisauan Sakura. Benarkah sesuatu terjadi padanya? Sakura segera memulas tombol pintu bilik itu. Berkunci. Sakura segera mencari kunci pendua. Mungkin Yuki ada menyembunyikan kunci pendua di mana-mana.
Otak Sakura ligat berfikir. Jika dia ialah Yuki, di mana dia akan meletakkan kunci pendua itu. Satu tempat yang dia akan pergi setiap hari. Satu tempat yang tersembunyi dan susah dijangka. Tiba-tiba Sakura teringat sesuatu yang diberitahu Yuki. Sakura segera berlari ke peti sejuk dan membuka pintu peti sejuk itu. Di satu sudut peti sejuk penuh dengan susu tergantung kunci pendua yang dicari-cari oleh Sakura.
"Yuki tidak boleh hidup jika sehari tidak minum segelas susu."
Sakura tersenyum sendirian dengan kebijaksanaannya. Agaknya kalau dia menjadi seorang detektif, tentu kadar jenayah di negara Jepun ini akan mencecah angka sifar. Sakura terus membuka pintu bilik Yuki. Sakura terkejut. Yuki terbaring lemah di atas lantai.
"Yuki!"
Sakura berlari ke sisi Yuki dan memangku kepalanya. Suhu badannya panas. Mata Yuki terbuka sedikit.
"Sakura? Apa yang awak buat di sini? Keluar!"
Sakura terkejut apabila Yuki menghalaunya keluar. Sakura bengang. Kali ini dia tidak dapat menahan lagi. Sudahnya, dia menampar pipi Yuki. Spontan Yuki memegang pipinya. Sakura menangis teresak-esak.
"Awak nak halau saya keluar? Awak tahu tak betapa risaunya saya di luar tadi? Awak tak sahut panggilan saya langsung. Tidak ada suara langsung. Jika terjadi sesuatu pada awak bukankah saya yang harus bertanggungjawab? Awak jadi begini kerana saya bukan? Semuanya salah saya bukan? Adakah ini masanya untuk awak terus keras kepala?"
Mata Yuki berkaca namun sebelum sempat air mata itu tumpah dia segera menyekanya. Sakura risau akan keadaannya. Dia bangun dan terus memeluk Sakura yang sedang menangis. Sakura terus menangis.
"Sakura, jangan menangis lagi. Saya minta maaf. Saya fikir saya tidak mahu buat awak risau tetapi rupa-rupanya tindakan saya lebih merisaukan awak. Terima kasih kerana risaukan saya, Sakura. Terima kasih."
Yuki pengsan. Sakura panik. Suhu badannya terlampau panas. Sakura segera mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon seseorang.
* * * * * *
"Cik Sakura tidak perlu risau. Saya sudah memberikan suntikan untuk meredakan demam Encik Yuki. Nasib baik keadaan Encik Yuki tidak parah. Mungkin perutnya terkejut kerana telah makan sesuatu yang tidak biasa dimakan atau dalam erti kata lain keracunan makanan."
Sakura terdiam. Memang betul pun Yuki keracunan makanan.
"Terima kasih Doktor Yamada. Doktor, tolong jangan beritahu Papa tentang saya hubungi Doktor."
"Baiklah Cik Sakura. Saya akan cuba lakukan yang terbaik. Saya rasa lebih baik saya pulang sekarang. Hubungi saya jika ada apa-apa yang berlaku."
"Baiklah. Terima kasih Doktor."
Doktor Yamada pergi dengan keretanya. Sakura menukar tuala basah yang sudah kering di dahi Yuki.
"Bukankah saya yang patut berterima kasih pada awak Yuki? Kalau saya yang makan tadi tentu saya yang sakit. Secara tak langsung sekarang saya berhutang dua nyawa dengan awak. Awak tidaklah sekejam yang saya sangka. Walaupun mulut awak jahat, perangai tak boleh pakai, tapi awak tetap lindungi saya dengan cara awak sendiri. Ego tinggi macam menara Tokyo."
Sakura tersenyum sendirian. Tiba-tiba sekali lagi hatinya berdegup kencang. Kali ini Sakura memegang dadanya. Apakah maksud semua ini? Mungkinkah ada penyakit baru yang menular di Jepun? Sepatutnya dia minta Doktor Yamada memeriksanya sebentar tadi tetapi tidak mengapalah. Keadaan Yuki lebih penting sekarang.
Melihat Yuki yang seperti tersenyum dalam tidurnya menenangkan hati Sakura. Diam-diam dia juga ikut tersenyum melihat gelagat Yuki. Mungkin tidak akan ada lelaki lain yang sanggup terlantar keracunan makanan kerananya. Sudahnya, Sakura berjanji akan membalas budi Yuki. Lelaki ego yang bermulut jahat ini sebenarnya telah melinduginya. Terima kasih, Yuki.
Tiba-tiba Sakura terfikir sesuatu. Adakah ini bermaksud tidak ada keajaiban langsung yang berlaku dan sebenarnya hidangan yang dimasaknya benar-benar tidak boleh dimakan oleh manusia. Spontan Sakura menjerit.
"TIDAK!"
-BERSAMBUNG-
No comments:
Post a Comment