~~WELCOME TO MY LITTLE SECRET TOY BOX. ENJOY YOUR JOURNEY FULL OF SECRET IN MY LITTLE TOY BOX.~~

Me Myself My Secret

Me Myself My Secret

Sunday, 11 November 2012

Salju Putih Bunga Sakura -episode 3-

          Orang selalu kata, jangan buat keputusan tanpa berfikir dahulu. Bukankah jika kita terburu-buru mengambil keputusan kita akan menyesalinya? Sekurang-kurangnya itu yang Sakura rasakan ketika ini.

          Siapa yang tidak menyesal dengan keputusan yang diambil jika pengakhirannya sebilah pisau diacukan tepat ke lehernya? Saat ini, apa yang dikatakan oleh Yuki benar-benar menjadi kenyataan. Sakura benar-benar menyesal. Sekilas dia teringat tentang apa yang berlaku dua jam sebelum mata pisau itu diacukan di lehernya. Sakura kembali teringat ketika Yuki menghalangnya dari pergi.

          Sakura mengeluh panjang. Jika dia mendengar nasihat Yuki tentu ini semua tidak terjadi. Sakura memejamkan matanya rapat-rapat.

( Dua Jam Sebelumnya)

          Seperti biasa, Sakura menanti kepulangan Yuki. Sakura pelik. Yuki sentiasa keluar awal pagi dan pulang lewat petang. Apa sebenarnya yang Yuki lakukan? JIka difikirkan semula, Yuki tidak pernah bercerita tentang dirinya. Sebenarnya lebih tepat lagi, Sakura tidak tahu apa-apa pun tentang Yuki selain dari sikapnya yang menjengkelkan. Sakura berhenti berfikir. Dia berharap Yuki tidak pulang lewat hari ini. 

          Sakura senyum sendirian. Hari ini 24 Disember. Malam Krismas. Yuki sudah berjanji untuk pulang awal dan makan malam bersamanya. Yuki juga berjanji untuk memberinya hadiah Krismas yang paling hebat yang tidak terjangkau dek fikirannya. Sakura berfikir sendiri. Malam Krismas adalah malam yang membangkitkan perasaan romantik. Sekali lagi Sakura tersenyum sendirian.

          Tiba-tiba Sakura tersedar dari lamunannya. Tunggu dulu. Mengapa dia sungguh-sungguh gembira dengan fakta itu? Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Sakura cemas. Sejak akhir-akhir ini hatinya sering berdegup kencang. Sakura berfikir, adakah Yuki puncanya? Setiap kali dia teringat pada Yuki hatinya tentu akan berdegup lebih pantas dari biasa.

          Sakura membayangkan wajah Yuki. Tiba-tiba riak wajahnya berubah. Senyumannya mati. Adakah? Adakah semua itu berlaku kerana. Mungkinkah semua yang berlaku padanya kerana dia terlalu menyampah dengan manusia yang bernama Yuki tetapi oleh kerana dia telah berjanji akan membalas segala jasa Yuki padanya jadi dia tersekat dengan seorang lelaki yang bernama Yuki.

          Sakura mengangguk. Dia kembali mengenang segala jasa Yuki padanya. Yuki adalah lelaki yang menyelamatkannya ketika dia hampir beku sewaktu cubaannya lari dari Papa. Yuki dengan begitu baik hati membenarkan Sakura tinggal di rumahnya. Kemudian Yuki hampir mati kerana keracunan makanan setelah merasa atau lebih tepat lagi menghabiskan semua masakan Sakura. Sakura mencebikkan mulutnya. Kadangkala Sakura merasakan ego Yuki lebih tinggi dari menara Tokyo.

          Tiba-tiba Yuki muncul di muka pintu. Sakura tersentak dari lamunannya.

          "Tak sangka awak sungguh-sungguh menunggu saya."

          Yuki senyum menyindir. Sakura menyampah tetapi dalam diam-diam dia merasa kagum dengan Yuki. Segala apa yang dikatakannya sentiasa benar. Kali ini pun Bingo! Yuki sentiasa berjaya membaca fikirannya.

          "Siapa kata saya tunggu awak. Saya cuma tak sabar nak sambut malam Krismas."

          Sakura segera berpaling menyembunyikan wajahnya yang sudah merona merah. Yuki cuma tersenyum sendiri. Tidak menyangka Sakura benar-benar keras kepala. Entah bagaimana harus dia melembutkan hati gadis itu. Sudahnya Yuki mengeluh panjang.

          "Sakura, seperti yang saya janjikan, saya sudah siapkan hadiah Krismas istimewa untuk awak tetapi awak hanya akan terima hadiah itu selepas 12 tengah malam. Maknanya awak akan menghabiskan masa awak dengan saya sehinggalah awak terima hadiah awak."

          Sakura mencebik. Menyampah. Tak ikhlas betul. Walaupun bengang, Sakura tetap mengangguk laju. Tidak sabar rasanya menanti hadiah Krismas untuknya. Sakura yakin dia tidak akan menerima sebarang hadiah dari Papa tahun ini memandangkan Papa sendiri langsung tidak tahu di mana dia berada. Sakura pelik. Mengapa Papa masih belum menemuinya? Setahu Sakura, Papa mempunyai pengaruh paling besar dalam dunia Jepun ini. Sepatutnya Papa tentu sudah tahu di mana dia berada. Sudahnya Sakura menggeleng sendiri. Malas dia mahu memikirkan apa-apa tentang Papanya.

          "Hei Cik Adik. Awak ni nak tunggu pari-pari muncul ke? Tercegat macam pokok pain di tepi tiang tu kenapa?"

          Sakura tersedar dari lamunannya. Dia sendiri tidak perasan bila Yuki bergerak ke sisi kereta dan siap membuka pintu kereta untuknya. Sakura cepat-cepat melangkah masuk ke dalam kereta. Nanti kalau Yuki sudah mula membebel sudah tentu sepuluh tahun pun tak akan habis.

          "Yuki, boleh saya tanya sesuatu?"

          "Tanyalah."

          "Siapa sebenarnya awak?"

          Yuki memberhentikan kereta di sisi jalan. Sakura direnung. Tajam tanpa berkelip. Sakura mula seram. Hatinya dup dap dup dap seperti menari tarian rumba. Renungan tajam Yuki seakan-akan mahu membunuhnya kerana menanyakan soalan itu tiba-tiba.

          "Betul awak mahu tahu sekarang?"

          Sakura tidak pasti sama ada dia harus mengangguk atau menggeleng saat ini. Adrenalinnya bergerak pantas. Sudahnya reaksi Sakura hanya anggukan yang bercampur dengan gelengan. Yuki mendekatkan wajahnya pada Sakura. Lama-kelamaan wajahnya semakin hampir. Sakura dapat merasakan kehangatan nafas Yuki.

          Sakura takut. Dia berdoa panjang-panjang dalam hatinya. Matanya dipejam rapat-rapat. Tuhan, tolong selamatkan aku dari makhluk gila yang menjengkelkan ini.

          "Sakura,saya rasa solekan awak agak tebal malam ni. Comot sikit di tepi ni."

          "Hah?"

          Yuki berhati-hati menggosok sedikit pipi Sakura untuk membetulkan kesan bedak yang disapu comot.  Sakura tercengang. Sakura merasakan wajahnya mula panas. Wajah Sakura semakin lama semakin merah seperti udang yang dibakar. Yuki tergelak melihat Sakura.

          "Sakura, sampai begitu sekali pemikiran awak?"

          Bingo! Bencinya Sakura dengan keadaan ini. Akhirnya soalan yang ditanya Sakura tadi dibiarkan mati tanpa jawapan. Sudahnya Sakura membuang pandangannya ke tepi jalan.

          "Sakura, tutup mata awak."

          Tanpa menunggu lama, Sakura memejamkan matanya. Tangan Sakura dipimpin Yuki ke satu tempat.

          "Sekarang buka mata awak. Kita sudah sampai."

          Sakura membuka matanya perlahan-lahan. Keadaan sekelilingnya gelap gelita.

          "Yuki, kita di mana sekarang? Gelap. Saya tak boleh nampak apa-apa."

          Yuki menepuk tangannya sekali. Tempat itu diterangi cahaya. Sakura terlopong. Tempat itu sebenarnya sebuah pentas. Pentas yang berwarna putih dihiasi pokok-pokok Krismas lengkap dengan salji buatan. Bumbung pentas dihias seperti kerlipan bintang-bintang di langit malam. Di tengah-tengah pentas terletak sebuah meja makan berbentuk segi empat lengkap dengan lilin dan makanan yang siap dihidang. Cahaya yang menerangi pentas itu ialah chandelier yang tergantung anggun seperti bulan yang menambah seri pada hiasan bintang.

          Sakura memandang Yuki. Terharu. Yuki tersengih seperti biasa. Bangga dengan hasil kerja tangannya.

          "Yuki. Istimewanya makan malam Krismas yang awak sediakan untuk saya."

          "Awak suka?"

          "Bohong jika saya kata tak suka. Terima kasih Yuki."

          Sakura menghadiahkan Yuki pelukan erat dan berlari keliling pentas tertawa gembira seperti anak kecil yang baru sahaja mendapat hadiah yang paling diingini sepanjang Krismas. Yuki terkejut kerana Sakura tiba-tiba memeluknya tadi. Perlahan-lahan senyuman nipis terukir di bibirnya.

          Yuki menarik kerusi untuk Sakura duduk dan kemudian duduk berhadapan dengannya. Makan malam itu sangat romantis dipenuhi gelak tawa. Sakura sangat gembira. Dia tidak menyangka Yuki sanggup melakukan ini semua. Rasa tidak percaya pun ada juga. Tak sangka lelaki ini tahu mengambil hati wanita. Sekali pandang, Yuki seperti seorang yang sangat berpengalaman dalam hal begini. Agaknya sudah berapa ramai wanita yang dilayan sebegini oleh Yuki.

           Sakura meraba beg tangannya. Telefon bimbitnya tertinggal di dalam kereta. Dia mahu mengambil gambar kenangan Krismas pertama bersama Yuki.

          "Yuki, telefon bimbit saya tertinggal dalam kereta. Saya mahu ambil sebentar."

          "Tak perlu. Biar saya yang pergi. Bahaya awak keluar. Lagipun kawasan ini agak terpencil."

          "Tak apa. Awak tunggu sahaja di sini. Biar saya yang pergi. Bukannya akan ada apa-apa yang berlaku."

          "Bagaimana kalau nanti ada lelaki yang mengacukan pisaunya di leher awak?"

          Yuki tersengih nakal. Suka benar dia mengusik Sakura sebegitu. Sakura cuma memandang dengan perasaan menyampah.

          "Awak fikir saya siapa. Ini Taeko Sakura. Lagipun apa yang akan berlaku."

          Sakura melangkah pergi. Gaya meninggi dirinya membuat Yuki ketawa terbahak-bahak. Sampai sahaja di kereta Sakura mencari telefon bimbitnya di tempat duduk penumpang. Jumpa! Tengok. Bukannya susah pun. Tiba-tiba,

          "Kalau kau mahu selamat, jangan menjerit. Jalan terus ke depan."

          Sakura terpaksa mengikut arahan lelaki itu. Sebilah pisau diacukan di lehernya. Bagus. Sempurna sangat. Apa Yuki itu memang boleh nampak masa depan ke? Sakura menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Dia dipaksa berjalan ke lorong yang sunyi. Tiada manusia pun sejauh mata Sakura memandang. Hatinya berdebar-debar.

          "Taeko Sakura. Memang rezeki terserempak dengan mangsa paling kaya malam ni. Serahkan semua duit dan barang berharga yang kau ada sekarang."

          Sakura menurut. Telefon bimbitnya diserahkan. Duitnya berada dalam beg tangan tetapi ditinggalkan bersama Yuki tadi. Lelaki itu tidak puas hati. Mangsa kaya tetapi hanya telefon bimbit sahaja yang dia dapat. Pisau ditekan kuat. Sakura dapat merasakan darahnya mengalir sedikit pada mata pisau itu.

          "Mana duit?"

          "Aku tak bawa duit denganku. Ini sahaja yang aku ada."

          Sakura dapat melihat lelaki itu sangat marah dan tidak puas hati. Luka di lehernya akibat pisau yang ditekan itu terasa sangat berbisa.

          Orang selalu kata, jangan buat keputusan tanpa berfikir dahulu. Bukankah jika kita terburu-buru mengambil keputusan kita akan menyesalinya? Sekurang-kurangnya itu yang Sakura rasakan ketika ini.

          Siapa yang tidak menyesal dengan keputusan yang diambil jika pengakhirannya sebilah pisau diacukan tepat ke lehernya? Saat ini, apa yang dikatakan oleh Yuki benar-benar menjadi kenyataan. Sakura benar-benar menyesal. Sekilas dia teringat tentang apa yang berlaku dua jam sebelum mata pisau itu diacukan di lehernya. Sakura kembali teringat ketika Yuki menghalangnya dari pergi.

          Sakura mengeluh panjang. Jika dia mendengar nasihat Yuki tentu ini semua tidak terjadi. Sakura memejamkan matanya rapat-rapat. Tidak ada apa yang difikirkannya selain dari nama yang meniti di bibirnya sekarang. Perlahan Sakura membisikkan nama itu. Wajah yang bermain di fikirannya ketika itu.

          "Yuki."

          "Lepaskan dia!"

          Sakura membuka matanya. Dia terkejut. Yuki berdiri tidak jauh dari situ. Yuki datang menyelamatkannya. Sakura gembira sendirian tetapi tetap sedih kerana walaupun heronya telah tiba, mata pisau masih lagi berada di lehernya.

          "Siapa kau? Berani kau masuk campur urusan aku!"

          "Siapa aku? Kalau kau mahu tahu, orang yang kau acukan pisau itu adalah orang yang paling penting untuk aku. Sekarang kalau kau nak selamat, lepaskan dia!"

          Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Sakura memandang tepat ke mata Yuki. Dia terharu dengan kata-kata Yuki. Yuki membalas pandangan Sakura. Yuki seolah-olah memberitahu Sakura supaya tidak perlu risau, percayalah dia akan menyelamatkannya.

          "Sebenarnya, kalau kau mahu dia selamat, serahkan semua barang berharga yang kau ada. Sekarang!"

          Sakura ditarik merapatinya. Mata pisau masih lagi tepat mengenai lehernya. Air matanya mula ke tepi. Perlahan-lahan menitis di pipinya. Melihat air mata Sakura menitis, Yuki menggila. Dia berlari menerpa lelaki itu.

          Sakura tercampak ke tepi. Yuki dan lelaki itu bergelut. Tumbukan demi tumbukan berbalas. Darah merah mengalir dari mulut Yuki. Dia bengang. Tidak ada sesiapa yang boleh menyakiti Sakura. Dia tidak akan memaafkan sesiapa sahaja yang menyakiti Sakura. Bertalu-talu tumbukan hinggap di wajah lelaki itu. Tiba-tiba Yuki berhenti. Tangannya spontan memegang perutnya. Yuki ditolak. Lelaki itu segera mengambil peluang itu untuk melarikan diri.

          Yuki cuba berdiri tetapi tidak boleh. Kakinya terlampau lemah. Yuki merangkak ke arah Sakura. Darah merah ikut meninggalkan jejaknya di atas salji yang putih. Sakura terus bangun berlari ke sisi Yuki. Rupa-rupanya Yuki telah ditikam dengan pisau tajam itu tepat mengenai perutnya. Darah mengalir tanpa henti. Tangan dan baju Sakura basah dengan darah.

          Sakura menggigil. Perlahan-lahan tangisannya dapat didengari. Yuki terbatuk-batuk. Nafasnya makin tersekat-sekat.

         "Yuki. Bertahan. Kita akan ke hospital sekarang."

         Yuki tersenyum nipis. Dia menggeleng perlahan.

          "Apa yang awak merepek Yuki? Luka awak parah. Awak nak mati sangat ke? Nak tinggalkan saya?"

          Air mata Sakura terus mengalir laju. Yuki mengangkat tangannya. Air mata Sakura disapu.

          "Sakura, jangan menangis. Saya rasa sakit setiap kali melihat awak bersedih. Lebih sakit dan dalam luka di hati saya melihat awak menitiskan air mata."

          Nafas Yuki semakin perlahan. Makin lama makin perlahan. Mata Yuki terpejam rapat. Sakura meraung memeluk Yuki yang terbaring kaku tidak bergerak.

          "Yuki! Jangan tinggalkan saya. Bukankah awak belum beri hadiah Krismas istimewa awak pada saya. Awak sudah janji."

          Yuki masih lagi kaku dalam pelukan Sakura.

          "Yuki. Tolong. Saya merayu. Jangan tinggalkan saya, Yuki. Jangan tinggalkan saya. Kembalilah. Awak juga penting untuk saya. Lebih penting dari apa yang saya ada, Yuki."

          Masa seakan-akan terhenti. Salji putih yang turun seperti air mata Sakura yang mengalir menyelimuti segala-galanya . Satu demi satu kenangan bersama Yuki kembali bermain di minda Sakura. Satu demi satu memori tentang Yuki diputar kembali dalam fikiran Sakura. Biarpun pendek dan kadangkala menyakitkan hati, Sakura berharap dia dapat kembali ke masa itu. Saat Yuki ketawa bersamanya.

          Kini Sakura mengerti. Sekarang Sakura sudah faham. Hatinya berdegup kencang setiap kali bersama Yuki. Hatinya berdegup kencang setiap kali menyebut nama Yuki. Hatinya berdegup kencang setiap kali memikirkan Yuki. Semua itu terjadi bukan kerana dia sakit hati terhadap Yuki. Bukan juga kerana dia menyampah dengan perangai Yuki. Bukan juga kerana dia terpaksa bersama Yuki. Juga bukan kerana dia terhutang budi pada Yuki.

          Bukankah semua itu berlaku kerana kewujudan Yuki dalam hidupnya. Kerana semua yang dia inginkan hanya untuk bersama dengan Yuki. Apa yang dia mahukan Krismas itu adalah kewujudan Yuki sendiri. Mungkin semua itu membuat Sakura rasa dirinya sangat mementingkan diri sendiri tetapi satu sahaja yang Sakura sangat pasti. Dia mencintai lelaki yang menjengkelkan dan menyakitkan hatinya. Sakura mencintai Yuki. Dia sedar dia mencintai Yuki sepenuh hatinya.

         Saat jarum jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam, saat semuanya diselimuti salji putih, Sakura merapatkan wajahnya pada Yuki yang kaku. Sakura mengucup bibir pucat Yuki perlahan sambil air matanya mengalir deras.

          "Selamat Hari Krismas, Yuki."

-BERSAMBUNG-

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved mylittlesecrettoybox.blogspot.com