~~WELCOME TO MY LITTLE SECRET TOY BOX. ENJOY YOUR JOURNEY FULL OF SECRET IN MY LITTLE TOY BOX.~~

Me Myself My Secret

Me Myself My Secret

Sunday, 21 October 2012

Salju Putih Bunga Sakura -episod 1-

          "Cik Puan, setahu saya Pengerusi Yuki Group itu berumur orangnya," salah seorang pembantu rumah Sakura berbisik ketika menyisir rambutnya.

          "Bukan berumur sahaja Cik Puan, saya ada mendengar khabar angin bahawa Pengerusi Yuki Group seorang lelaki tua gatal yang kaki perempuan," bisik seorang lagi pembantu rumah ketika menyapu pewarna kuku pada kuku Sakura.

          Sakura berdiri secara tiba-tiba.

          "Saya mahu berjumpa Papa sekarang juga. Tidak ada lelaki tua gatal yang kaki perempuan yang layak kahwin dengan satu-satunya anak perempuan Pengerusi Taeko Tradings, Taeko Sakura!"

          Kedua-dua pembantu rumah itu tersenyum dan salah seorang mendail  nombor seseorang pada telefon bimbitnya.

          "Tuan, kami sudah jalankan apa yang Tuan minta."

          Sakura melangkah keluar menuju ke arah pejabat mini Papa di dalam rumah agam itu. Bengang betul rasa hatinya. Sampai hati Papa mahu mengahwinkan dia dengan seorang lelaki tua gatal yang kaki perempuan. Bila difikirkan kembali, tidak ada sebab untuk dia mengahwini lelaki sebegitu. Dia tidak kira, apa sahaja harus dilakukan untuk menghentikan semua ini dari terus berlaku.

          "Papa!"

          Pengerusi Taeko Tradings itu terkejut melihat anak perempuan kesayangannya tiba-tiba menerjah masuk.

          "Ada apa, sayang?"

          "Papa, Sakura tak kira. Batalkan perkahwinan Sakura dengan kawan Papa, Presiden Yuki Group itu atau Sakura akan tinggalkan rumah agam ini dan tinggalkan Papa sekali."

          "Apa yang anak Papa mengarut ni, sayang? Papa tak faham. Bukankah anak Papa dah setuju tempoh hari? Anak Papa ni pun dah siap kan? Bukankah kita nak lawat Presiden Yuki Group sekarang?"

          "Papa! Tidak ada lelaki tua gatal yang kaki perempuan boleh kahwin dengan saya!"

          "Lelaki tua gatal yang kaki perempuan?Siapa?"

          "Presiden Yuki Group!"

          Wajah Papa Sakura merona merah. Sakura menanti dengan penuh harapan. Dia yakin Papa akan melakukan sesuatu. Matanya bulat bersinar penuh harapan. Tiba-tiba Papa Sakura ketawa. Makin lama makin kuat. Senyuman Sakura mati.

          "Pandai anak Papa buat lawak malam-malam ni. Cukuplah. Jom kita pergi sekarang. Presiden Yuki Group mesti sedang tunggu kita."

          Tangan Sakura ditarik lembut. Sakura bengang. Apa sahaja harus dilakukan supaya dia tak perlu berkahwin dengan presiden tua gatal yang kaki perempuan. Sakura memerhati sekeliling. Salji semakin melebat tatkala Sakura dan Papanya melangkah keluar. Sebaik sahaja Papa Sakura melangkah masuk ke dalam perut kereta, Sakura segera melarikan diri. Presiden Taeko Tradings terperanjat besar.

          "Sakura! Cepat cari Sakura sekarang juga!"

          Dua orang pengawal Presiden Taeko Tradings pantas mengejar langkah Sakura. Papa Sakura segera mendail nombor telefon seseorang yang dipercayainya.

          Walaupun keadaan sangat gelap dan sejuk, Sakura tetap terus berjalan mahupun langkahnya makin perlahan dek salji putih yang semakin menebal. Sakura agak menyesal kerana terus melarikan diri tanpa memakai baju yang lebih tebal. Sesekali dia dapat melihat cahaya lampu picit yang disuluh ke kiri dan ke kanan, Sayup kedengaran namanya dipanggil.

          Sakura terus melangkah. Dia sudah nekad. Walau apa pun yang akan terjadi padanya, dia tidak akan kembali. Dia lebih rela mati dari berkahwin dengan seorang lelaki tua gatal yang kaki perempuan. Sudah lebih dua jam Sakura melangkah. Memandangkan selama ini jika dia ingin ke mana-mana, pemandunya yang akan membawanya jadi dipendekkan cerita, Sakura tidak tahu langsung selok-belok jalan di sekitar kawasan yang dilaluinya sekarang ini.

          Sakura semakin pucat kerana terlalu lama berjalan ketika cuaca sangat sejuk ditambah pula dengan ribut salji yang bakal melanda bila-bila masa. Langkah Sakura makin perlahan. Sepanjang jalan itu tidak kelihatan langsung kelibat manusia. Akhirnya Sakura rebah. Ribut salji yang melanda menyukarkan Sakura untuk bernafas. Pandangannya makin kabur. Sebelum mata Sakura terpejam rapat, dia terdengar bunyi tapak kaki menapak menghampirinya.

          *          *          *          *          *          *
          Sakura terasa tangannya disentuh seseorang.Mata Sakura terbuka luas. Nafasnya kencang. Mimpi? Adakah dia masih hidup atau sudah mati? Sakura mencubit pipinya. Sakit. Dia memerhati keadaan sekelilingnya. Sebuah bilik kecil dan disebelahnya seorang lelaki yang tidur sambil memegang tangannya. Sakura bengang.

          Berani dia pegang tangannya dan tanpa kebenarannya. Rasakan 'Kuasa Penuh Pelempang Maut Taeko Sakura'! Sakura mengangkat tangannya tinggi bersedia untuk menampar lelaki itu tetapi belum sempat tangannya hinggap di pipi lelaki itu, lelaki itu pantas menghalangnya. Lelaki itu merenung Sakura. Sakura takut. Sebelum ini tiada sesiapa yang berjaya menangkis pelempang mautnya itu. Malah, dia menggunakan kuasa penuh sebentar tadi.

          "Tolong! Ada seorang lelaki yang cuba mengambil kesempatan! Tolong!"

          Lelaki itu segera menekup mulut Sakura.

          "Awak dah gila? Jangan jerit. Mengganggu jiran nanti."

          Sakura cuba mengatakan sesuatu tetapi mulut Sakura masih lagi ditekup lelaki itu jadi suara yang keluar hanyalah 'hmmmm mmmmm hmmmm' yang mungkin difahami atau tidak difahami lelaki itu. Tanpa disangka-sangka lelaki itu cuma tersenyum dan melepaskan tangannya seakan-akan memahami apa yang cuba disampaikan oleh Sakura.

          "Maaf. Reaksi spontan sewaktu awak menjerit tadi. Saya nampak seperti orang yang cuba mengambil kesempatan pada awak?"

          "Waktu awak pegang tangan saya."

          "Itu? Itu... Itu... Itu sebab awak hampir mati beku waktu saya terjumpa awak terbaring depan rumah saya semalam. Jika saya tak pulang awal semalam tentu awak sudah mati kesejukan. Awak patut berterima kasih atas jasa saya dan nasib awak juga dan satu lagi, awak nampak seperti orang bijak tapi tak cukup bijak sebab merayau di luar pada waktu dan cuaca seperti semalam."

          Lelaki itu tersengih. Sakura merenung tajam. Sakura rasa menyampah. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia rasa seperti ingin menampar-nampar muka lelaki itu tetapi apabila difikirkan semula, Sakura hanya membayangkan sahaja aksi dia menampar lelaki itu dalam fikirannya.

          "Kalau renungan boleh membunuh, tentu saya sudah mati. Membayangkan yang awak bunuh saya dalam fikiran awak?"

          Bingo! Sakura terkejut.

          "Sekarang beri pada saya alamat rumah awak. Saya akan hantar awak pulang."

          "Rumah? Encik, awak jumpa saya hampir mati di luar semalam, bukan? Bukankah itu sudah terang-terangan menunjukkan yang saya lari dari rumah? Nampaknya Encik pun bukanlah cukup bijak untuk memahami keadaan sekarang."

          "Lari? Lebih bahaya. Mari kita pergi sekarang. Saya tak mahu jika ada pegawai polis yang tiba-tiba menahan saya atas alasan menculik yang saya sendiri tak lakukan."

          Sakura bengang. Dia tidak dapat menahan perasaannya. Sudahnya dia menangis teresak-esak. Susah jika terperangkap dengan seseorang yang tidak memahami masalah yang dihadapinya sekarang ini. Lelaki itu menggigit bibir. Apakah dia sudah tersilap? Mungkin ada sesuatu yang mengguris hati perempuan itu.

          "Cik, janganlah menangis. Saya minta maaf kalau saya tersalah cakap tadi. Baiklah. Awak tinggal sahaja di sini buat sementara waktu. Saya Yamada Yuki. Panggil saya Yuki. Cik?"

          Sakura mengesat air matanya. Lega.

          "Taeko Sakura. Boleh panggil saya Sakura."

          Mata lelaki itu terbeliak.

          "Taeko Sakura? Satu-satunya anak perempuan Presiden Taeko Tradings yang memonopoli bursa saham Jepun? Sakura dari Taeko Tradings?"

          "Ya. Kenapa?"

          "Saya fikir wajah awak mirip dia tetapi rupa-rupanya awak memang dia. Ah, tak kisahlah. Siapa awak bukan urusan saya. Tinggal di sini sehingga awak bersedia untuk pulang."

          Yuki menapak pergi tetapi sebelum melangkah keluar, Sakura memanggil namanya menyebabkan dia berpaling menghadap Sakura semula.

          "Yuki. Terima kasih kerana menyelamatkan nyawa saya. Terima kasih juga kerana benarkan saya tinggal di sini."

          Yuki cuma mengganggukkan kepalanya dan tersenyum lalu dia segera melangkah keluar. Sakura juga ikut tersenyum. Dia sangat beruntung kerana menemui lelaki yang baik hati seperti Yuki ketika dirinya dalam kesusahan. Sakura malabuhkan badannya semula di atas katil yang empuk itu. Semoga ketenangan yang dirasainya itu kekal sehinggalah Papa mencarinya dan berjanji tidak akan mengahwinkan Sakura dengan lelaki tua gatal yang kaki perempuan itu. Sakura terus tersenyum.

-BERSAMBUNG-

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved mylittlesecrettoybox.blogspot.com