~~WELCOME TO MY LITTLE SECRET TOY BOX. ENJOY YOUR JOURNEY FULL OF SECRET IN MY LITTLE TOY BOX.~~

Me Myself My Secret

Me Myself My Secret

Saturday 5 January 2013

Salju Putih Bunga Sakura -Episod 7-


          Hanya cermin kaca yang memisahkan Sakura dan Papanya. Tangan dan kaki yang dirantai. Papa dilayan seperti binatang. Sakura tidak dapat menerima kenyataan yang dia tidak mampu melakukan apa-apa ketika Papa amat memerlukannya.

          Sakura berjalan perlahan-lahan. Entah kenapa kakinya membawa dia ke rumah kosong itu. Pintu rumah itu diselak. Perabot masih lagi teratur. Berbalut dengan kain  putih. Entah ke mana Yuki pergi. Sejak kejadian itu, Sakura tidak pernah lagi mendengar apa-apa berita mengenai Yuki.

          “Yuki.”

           Sakura pelik entah kenapa walaupun dia ingin membenci namun nama itu tetap meniti di bibirnya saat dia dalam kesusahan. Hanya nama itu sahaja yang mampu menenangkan hatinya. Entah kenapa hatinya begitu sakit. Entah kenapa dia seakan tidak mampu untuk bernafas lagi. Kesakitan yang dirasainya bagaikan menghalangnya untuk bernafas. Memori singkat bersama Yuki kembali bermain dalam kotak fikiran Sakura.

          “Saya berjanji akan terus bersama awak dan membalas semua yang awak telah lakukan untuk saya.”

          “Sudah tentu saya sudi. Bukankah awak satu-satunya lelaki yang keracunan makanan dan ditikam pada malam krismas untuk saya?”

          “Janganlah risau. Bukankah awak lelaki yang saya pilih?”

          “Keluar! Saya tak mahu lihat awak muncul di hadapan saya lagi!”

          “Bukankah ini yang awak mahu? Ambil dan jangan pernah kembali.”

          Sakura menekup telinganya. Kata-kata pedih yang masih terngiang-ngiang di tepi telinganya. Sakura marah pada dirinya sendiri. Mengapa dia harus begitu mencintai lelaki yang bernama Yuki. Mengapa dia harus terus-menerus menyayangi lelaki yang dia sendiri tidak tahu nama keluarganya. Mengapa hatinya perlu terikat pada lelaki yang dia sendiri tidak tahu asal-usulnya. Kini, bukankah cinta itu mengkhianati dirinya? Bukankah rasa cinta itu yang kini menghancurkan hatinya sendiri?

          Sakura menjerit. Lantang. Seluruh rumah itu bergema dengan jeritan Sakura.

          “Yuki! Kenapa! Kenapa aku perlu bertemu dengan kau! Kenapa aku perlu mencintai kau dan melupakan kau sekarang!”

          Sakura terduduk. Rasa sakit hatinya sudah tidak tertahan lagi. Sedu-sedannya kini membuat dia semakin berharap agar dia mampu melupakan lelaki itu. Walaupun Sakura sungguh-sungguh ingin melakukan itu namun hatinya bertindak melawan keinginannya. Sakura menekup wajahnya. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia lakukan.

          Seorang lelaki bersut putih memerhatikan Sakura dari jauh. Air matanya berlinangan.

          “Maafkan saya, Sakura.”

          Lelaki itu melangkah pergi meninggalkan Sakura bersendirian.

          Sakura melangkah lemah menuju ke tempat Papanya dikurung. Penumbuk digenggam. Sakura ikut terseksa melihat Papanya terseksa. Sakura nekad. Tak mungkin dia tak mampu lakukan apa-apa. Tak mungkin dia hanya berdiam diri.

          “Papa, Sakura akan lakukan sesuatu. Percayalah pada Sakura.”

          Tanaka hanya melihat Sakura dari jauh. Ternyata hatinya juga benar-benar sakit melihat keadaan Sakura sebegitu tetapi dia tidak pernah tahu cara lain untuk memiliki hati Sakura. Dalam diam Tanaka juga membenci dirinya kerana melukai gadis yang amat dicintainya. Lapan tahun di Amerika sedikit pun tidak melunturkan perasaannya pada Sakura. Tidak pernah walau sesaat dia berhenti mencintai Sakura. Tidak pernah walau sedetik dia terlupa akan Sakura. Tidak pernah langsung.

          Dia masih teringat janjinya pada Sakura. Ketika dia masih lagi kecil. Ketika Sakura menangis sewaktu terjatuh ketika pulang dari sekolah. Ketika dia merasai cinta buat pertama kalinya.

          “Sakura, saya janji akan sentiasa berada di sisi kamu. Tidak akan ada waktu yang kamu akan bersendirian. Tidak akan pernah wujud waktu yang kamu akan rasa kekurangan. Berhentilah menangis. Yakinlah saya akan sentiasa ada untuk kamu. Saya akan sentiasa bersama kamu. Sehingga akhir nafas saya. Saya berjanji.”

          Tanaka masih teringat ketika Sakura mengesat air matanya dan kembali tersenyum. Ketika Sakura ketawa riang saat Tanaka membimbing tangan kecilnya. Wajah Tanaka berkerut. Memori bagaimana Papa menghantarnya ke Amerika juga berlegar di ruang ingatannya. Juga ketika Sakura menangis ketika menghantarnya ke lapangan terbang. Pelukan terakhir Sakura dan selamat tinggal yang diiringi sedu-sedan. Tanaka tidak dapat menunaikan janjinya hanya kerana sepotong arahan mudah yang diberi hanya kerana khabar angin yang berbisik. Janji yang terpaksa diingkari hanya kerana Papa yang takut akan kuasa khabar angin dan takut untuk mengakui cintanya untuk Sakura.

           Sejurus mendengar berita mengenai Papa merestui cinta seorang lelaki yang bernama Yuki dan betapa Sakura mencintainya, Tanaka kembali ke Jepun untuk melihat sendiri lelaki itu. Setibanya di Jepun, apa yang dilihatnya adalah seorang lelaki yang tidak punyai apa-apa yang boleh membahagiakan Sakura jika dibandingkan dengan dirinya. Tambahan pula, Sakura tidak tahu apa-apa pun tentang latar belakang lelaki itu. Tanaka geram. Mengapa Papa boleh menerima lelaki itu dan bukan dirinya.

          Kemarahan yang meluap dan dendamnya terhadap Papa menghantui Tanaka.  Dalam diam rancangannya dijalankan. Yuki disiasat. Satu demi satu rahsia kecil mengenai latar belakang Yuki terbongkar di hadapan matanya. Rahsia itu digunakan untuk menghalau lelaki yang merampas cintanya. Entah kenapa, walaupun Yuki dan Sakura kini berjauhan dan mustahil untuk mereka bina kembali hubungan namun, hati Sakura masih lagi bukan untuknya.

          Satu-persatu air mata Tanaka menitis. Tidak bolehkah Sakura mencintainya? Salahkah dia mencintai Taeko sakura? Undang-undang tidak menghalang dia bersama Sakura tetapi mengapa harus ini yang dilaluinya? Mengapa mencintai Taeko Sakura sangat menyakitkan? Mengapa merindui Taeko Sakura menyesakkan nafasnya?

          Tanaka menyeka air matanya. Perlahan dia melangkah pergi. Tidak patut dia mengenang memori lama lagi kerana dia yakin Sakura akan bersamanya nanti. Tidak lama lagi Sakura akan memberikan jawapannya. Kopi dihirup sambil pandangan Tanaka dibuang ke luar melihat bunga Sakura yang mekar di laman.

          “Tanaka.”

          Tanaka terkejut ketika Sakura memanggil namanya. Lembut bersama senyuman terlukis di bibirnya. Sudah lama Tanaka tidak menatap senyuman itu.

          “Tanaka, saya sudah buat keputusan. Saya terima lamaran awak. Taeko Sakura akan menjadi milik Taeko Tanaka.”

          Tanaka terkejut. Mimpi atau realiti? Memikirkan semula situasi, tak mungkin dia bermimpi. Ini sudah pasti realiti.

          “Saya lakukan ini bukan hanya kerana harta atau Papa tetapi saya fikir tidak salah sekiranya saya belajar untuk mencintai awak. Bukan lagi menyayangi awak sebagai seorang adik tetapi cuba mencintai awak sebagai seorang isteri.”

          Sakura menapak pergi meninggalkan Tanaka dengan perasaan yang bercampur-baur. Entah kenapa walaupun hatinya sakit tetapi dia yakin inilah jalan terbaik untuk dirinya dan untuk Taeko sendiri.

-BERSAMBUNG-

Copyright© All Rights Reserved mylittlesecrettoybox.blogspot.com