Sakura mengeluh sendirian. Entah kenapa hatinya tidak
tenang. Kaki membawanya ke sebuah rumah kecil yang penuh dengan memori. Rumah
itu kosong kini. Entah ke mana agaknya penghuni rumah itu pergi.
Yuki. Sakura
menggigit bibir. Apakah balasan yang diberikan pada Yuki benar-benar padan
dengan tindakannya? Sakura menggenggam penumbuk dan meletakkan pada dadanya.
Rasa sakit yang tidak tertahan. Air matanya jatuh satu-persatu. Memori dia dan
Yuki kembali bermain di fikirannya.
Dia masih
ingat sewaktu Yuki hampir mati ketika ditikam pada malam Krismas. Dia masih
dapat rasakan betapa dia mahu Yuki kembali padanya saat itu. Dia masih dapat
rasakan keperitan ketika dia sedar bahawa dia benar-benar mencintai lelaki ego
dan keras kepala itu dan mungkin akan kehilangan lelaki itu sebelum memberitahu
perasaannya. Betapa sakit hatinya mengenangkan mungkin semua itu adalah lakonan
Yuki semata-mata.
Sakura
mengetap giginya. Lakonan Yuki benar-benar hebat. Tidak ada cela langsung.
Semuanya dirancang sempurna. Mungkinkah Yuki juga berlakon ketika ditikam?
Mungkinkah perompak itu diupah oleh Yuki? Sakura kecewa. Hatinya hancur.
Sakura nekad
untuk melupakan memori bersama Yuki. Dia nekad dia harus teruskan hidup tanpa
Yuki lagi. Dia merasakan tidak ada gunanya lagi dia mencintai lelaki yang
menghancurkan hatinya. Tidak ada gunanya lagi mengenang memori yang hanya akan
menyakitinya. Perlahan-lahan Sakura menyeka air matanya.
Sewaktu Sakura tiba di rumah agam Taeko,
Tanaka sedang menunggunya di hadapan pintu utama. Tanaka tersenyum lebar.
“Awak masih
marah pada saya, Sakura?”
Sakura rasa
menyampah. Dia malas memberikan apa-apa jawapan pada lelaki gila ini. Tanaka
hanya ketawa melihat renungan tajam Sakura.
“Sakura,
saya ada hadiah untuk awak.”
“Hadiah?”
“Betul. Ikut
saya.”
Sakura
melangkah perlahan mengikut Tanaka dari belakang. Akhirnya mereka berhenti di
hadapan bilik utama. Sakura gugup. Bilik ini bilik Papa. Tanaka menyelak pintu.
Sakura ternganga ketika melihat susuk tubuh yang sedang duduk di tepi tingkap.
Tangannya bergari. Kakinya dirantai.
“Papa.”
Walaupun
dalam kesakitan, Pengerusi Taeko Tradings cuba tersenyum melihat anak perempuan
kesayangannya. Sakura ingin berlari memeluk papanya tetapi pantas dihalang
Tanaka.
“Sabar,
Taeko Sakura. Jangan gopoh sangat.”
“Kenapa
dengan awak?”
“Bukankah
setiap perbuatan ada balasannya?Give and
take.”
“Apa yang
awak nak?”
“T. Pihak
yang telah membeli lebih 50 peratus saham utama Taeko Tradings. Dalam erti kata
lain, Papa awak bukan lagi pengerusi Taeko Tradings mengikut jumlah pegangan
majoriti saham. Mungkin lebih jelas lagi, sebenarnya, nama keluarga Taeko sudah
tidak ada nilainya lagi cuma menghiasi sebagai nama syarikat sahaja. Lebih
mudah jika saya katakan yang keluarga Taeko sudah tidak berharta lagi.”
Sakura
mengetap bibir. Tanaka tersenyum sinis.
“Jadi? Apa
kaitan semua itu dengan Papa dan saya?”
“Saya
percaya awak ada soalan lain yang lebih tepat.”
Tanaka
kembali tersenyum sinis. Sakura tersedar sesuatu. Dia menerkam Tanaka. Kolar
kemeja Tanaka digenggam erat.
“Kau T?
Tergamak kau buat kami macam ni? Apa salah Taeko pada kau? Bukankah Taeko yang
kutip kau dulu? Bukankah Taeko yang memberi kau semua kemewahan yang kau rasai
sekarang?”
Tanaka
melepaskan genggaman Sakura. Tali lehernya dibetulkan. Tanaka memetik jarinya.
Dua orang lelaki lengkap berbaju hitam berdiri di sisi Papa Sakura.
“Jangan
kasar sangat, Sakura. Fikirkan risiko yang Tuan Pengerusi akan hadapi. Ops,
terlupa pula. Bekas Tuan Pengerusi.”
“Apa kau
nak?”
“Apa saya nak? Sebenarnya saya sudah
dapat apa yang saya nak tapi saya rasa saya perlukan sesuatu yang boleh memberi
saya jaminan dan kelebihan?”
“Jaminan dan
kelebihan?”
“Rasanya tak
perlu saya berdalih lagi. Saya perlukan awak untuk menjamin kedudukan saya
sebagai Pengerusi dan sebagai Taeko.”
“Maksud
kau?”
“Awak mesti
menjadi isteri Taeko Tanaka untuk menjamin hak mutlak saya untuk semua harta
keluarga Taeko dan kerana saya mencintai awak. Saya yakin dalam keadaan
sekarang awak tidak akan teragak-agak membuat keputusan.”
“Cinta? Kahwin?
Dengan kau? Apa yang kau mengarut?”
“Saya yakin
awak sedar yang tak mungkin saya merepek.”
Sekali lagi
Tanaka memetik jarinya. Salah seorang lelaki berbaju hitam mengeluarkan sepucuk
pistol dan mengacukannya pada dahi Papa Sakura.
“Bagaimana
jika saya beri tawaran yang awak tak boleh tolak? Kahwini saya dan sebagai
ganti, nyawa Papa awak tidak akan melayang dan termasuk dua alas an yang saya
katakan tadi. Lihat betapa baiknya hati saya memberi awak pilihan.”
“Jangan
dengar cakap dia, sayang. Jangan gadaikan diri kamu untuk Papa.”
Sakura
membisu memerhatikan pistol yang kelihatan baru di dahi Papanya. Peluh menitis
di dahi Papa Sakura dan Sakura sendiri. Tiba-tiba muncung pistol dialihkan.
“Begini, apa
kata saya beri awak masa seminggu. Awak tak boleh keluar dari rumah ini dalam
masa seminggu itu. Fikir baik-baik Sakura. Kahwini saya atau nyawa Papa awak
melayang.”
Tanaka
tersenyum sinis sebelum melangkah pergi.
“Kurung orang
tua itu di bilik bawah tanah.”
Dua orang
lelaki berbaju hitam mengangguk dan mengangkat Papa Sakura untuk dibawa ke
bilik bawah tanah. Sakura berlari mendapatkan Papanya tetapi pantas ditarik
Tanaka.
“Papa!”
“Jangan
risaukan Papa, sayang.”
“Sakura
minta maaf. Sakura sayang Papa!”
“Papa juga
sentiasa sayang kamu. Jangan ikut kehendak dia!”
“Bisingnya. Senyapkan
orang tua tu.”
Salah
seorang lelaki berbaju hitam menghentak belakang kepala Papa Sakura dengan
pistol. Papa Sakura rebah tidak sedarkan diri. Dua lelaki itu terus mengheret
badan Papa Sakura ke bilik bawah tanah.
“Papa!”
“Jangan
risau. Dia cuma pengsan. Jika awak mahu dia selamat, awak cuma perlu kahwini
saya. Ingat, pilihan di tangan awak. Awak atau Papa awak?”
Tanaka
ketawa dengan kuat sambil berjalan meninggalkan Sakura bersendirian. Sakura
terduduk. Air matanya jatuh satu-persatu. Tidak tertahan rasa sakit di hatinya.
Mungkinkah dia harus pasrah sahaja menerima kehadiran Tanaka dalam hidupnya?
Sakura memejamkan matanya dan menggenggam kedua-dua tangannya. Diam-diam Sakura
berdoa dalam hatinya buat pertama kalinya.
“Tuhanku,
memang benar aku tidak pernah percaya akan kewujudan-Mu tetapi jika benar Kau
wujud, hanya untuk sekali ini, berilah aku jalan keluar.”
Doktor
Yamada menghampiri seorang lelaki bersut putih.
“Tuan. Kini
keberadaan Tuan Pengerusi sudah diketahui. Taeko Sakura juga berada berdekatan.
Taeko Tanaka juga sedang sibuk memujuk Taeko Sakura mengahwininya.”
Lelaki
bersut putih tersenyum.
“Bagus.
Tidak sangka musang licik sudah masuk perangkap kita. Bersiap sedia Doktor
Yamada. Kita akan mulakan rancangan kita bila-bila masa sahaja sekarang.”
“Baik,
Tuan.”
Doktor
Yamada tunduk sedikit dan kemudian berjalan pergi meninggalkan lelaki bersut
putih itu. Lelaki bersut putih itu mengukir senyuman sambil ekor matanya memerhati
sahaja Doktor Yamada melangkah pergi.
-BERSAMBUNG-
No comments:
Post a Comment