~~WELCOME TO MY LITTLE SECRET TOY BOX. ENJOY YOUR JOURNEY FULL OF SECRET IN MY LITTLE TOY BOX.~~

Me Myself My Secret

Me Myself My Secret

Monday, 10 December 2012

Salju Putih Bunga Sakura -episod 5-

          Tanaka masih lagi duduk bersebelahan dengan Sakura. Dia kelihatan seperti tidak mahu berganjak langsung dari posisinya sekarang.. Yuki menggenggam penumbuk. Wajah masamnya tidak memberi apa-apa kesan langsung pada Tanaka. Yuki segera teringat pesan Doktor Yamada.

          "Doktor, siapa Tanaka? Apa hubungan dia dengan Sakura?"

          "Cemburu?"

          "Siapa yang tidak cemburu? Tiba-tiba peluk girlfriend orang. Kalau saya tak sakit, memang dah lama kena lanyak dia tu."

          Wajah Yuki masih lagi mencuka. Entah kenapa dia masih merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki misteri bernama Tanaka.

          "Nama panggilannya Tanaka. Nama penuh Taeko Tanaka."

          "Taeko?"

          "Ya, Taeko. Satu-satunya sepupu yang Sakura ada. Anak yatim piatu dan dijaga oleh Tuan Pengerusi sejak kecil memandangkan Tuan Pengerusi satu-satunya ahli keluarga Tanaka. Membesar bersama sejak kecil membuatkan mereka sangat rapat. Seperti adik-beradik. Ada juga yang menyatakan mereka seperti mempunyai hubungan lebih dari sekadar keluarga tetapi Tuan Pengerusi tetap dengan keputusan bahawa mereka tidak lebih dari keluarga sahaja. Untuk meredakan situasi dan gosip, Tuan Pengerusi menghantar Tanaka untuk menguruskan syarikatnya di Amerika. Ternyata Tanaka masih cekap seperti dulu. Walaupun tidak ada berita dikeluarkan, Tanaka sudah tahu tentang kehilangan Tuan Pengerusi."

          "Amerika?"

          "Ya. Yuki, saya harap awak berhati-hati. Bila-bila masa sahaja rahsia awak akan terbongkar. Jangan pandang rendah kecekapan Tanaka. Personalitinya yang sukar diduga lebih membuatkann hubungan awak dan Sakura dalam bahaya."

          "Saya tahu lambat-laun saya harus beritahu Sakura perkara sebenar. Cuma saya harap bukan dalam keadaan Sakura mendengarnya dari pihak lain."

          Doktor Yamada cuma mengangguk. Tanaka masih lagi berada di sisi Sakura. Menenangkan Sakura yang menceritakan keadaannya. Yuki yang melihat semua itu berasa lemah. Entah kenapa dia fikir dia tidak mampu lakukan apa-apa untuk Sakura. Sakura walaupun hampir dengannya tetapi dirasakan jauh sekali.

          Rumah agam Taeko yang gah seperti istana kini suram dan kosong sejak kehilangan Pengerusi Taeko Tradings itu. Keberadaannya masih tidak diketahui. Pihak polis bertungkus-lumus melakukan siasatan. Ikon penting Negara Matahari Terbit itu harus ditemui segera.

          Yuki kini tinggal bersama Sakura dan Tanaka di rumah agam itu. Yuki berasa janggal. Setiap pergerakannya seperti diperhatikan. Dia juga tidak dapat meluangkan begitu banyak masa bersama Sakura kerana Tanaka sentiasa bersamanya. Yuki bengang. Mengapa lelaki bernama Tanaka itu harus berkepit 24 jam dengan Sakura? Sekurang-kurangnya berilah sedikit ruang supaya dia dapat bersama Sakura pula.
Tetapi hari ini, Tanaka katanya mempunyai urusan di bandar. Sebelum bertolak ke bandar, Tanaka memeluk Sakura. Yuki yang memerhati ingin memberi amaran kepada Tanaka tetapi pantas dihalang oleh Doktor Yamada. Doktor Yamada menggeleng perlahan.

          "Situasi seperti sekarang ini tidak sesuai untuk awak mencampur-adukkan emosi awak. Lagipun, dia belum betul-betul layak lagi untuk menjadi lawan awak. Awak hanya akan memburukkan lagi keadaan."

          Yuki berundur sedikit. Dia perasan ada benarnya juga kata-kata Doktor Yamada. Yuki bergegas berlari ke sisi Sakura saat Tanaka sudah memasuki perut keretanya. Tangan Sakura ditarik perlahan. Yuki cuma ingin berada bersama Sakura saat ini. Tanaka memerhati dari dalam perut keretanya. Tangannya pantas mendail nombor seseorang.

          "Tanaka bercakap. Saya mahu awak siasat lelaki yang bernama Yuki. Laporkan pada saya sebaik sahaja ada apa-apa berita mengenai lelaki itu."

          "Baik, Tuan. Jangan risau. Saya akan selesaikan secepat yang boleh."

          "Satu lagi, macam mana keadaan orang tua tu?"

          "Segala-galanya berjalan lancar, Tuan. Tak lama lagi saya pasti berita ini akan menggemparkan seluruh Jepun."

          Tanaka mematikan talian dan ketawa terbahak-bahak. Hatinya puas tetapi belum cukup puas lagi. Senyuman kembali terukir di bibirnya.

          "Sakura, apa yang awak bualkan dengan Tanaka?"

          Sakura tergelak kecil mendengar pertanyaan Yuki.

          "Awak cemburu?"

          Wajah Yuki merona merah. Ego menahannya dari bersuara. Kopi ais di tangannya serta-merta diteguk. Sakura hanya tersenyum. Sah cemburu. Benarlah Yuki mencintainya. Sakura ingin ketawa lagi tetapi ditahan kerana bimbang Yuki akan merajuk pula nanti. Susah untuk berurusan dengan lelaki yang egonya setinggi Menara Tokyo. Sudahnya, pipi Yuki diusap perlahan.

          "Jangan risau. Dari dulu sehingga saat ini Tanaka hanya seorang abang yang saya hormati. Lagipun, bukankah awak yang saya pilih?"

          Yuki tidak dapat menahan senyumannya. Perasaan gembira dan bangga bercampur dalam hatinya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia melonjak dan menari kegembiraan di situ tetapi sekali lagi ego menahannya. Tangan Sakura digenggam.

          "Saya berjanji akan mencari papa awak sehingga jumpa. Saya akan pertaruhkan nyawa saya untuk awak."

          Sakura tersenyum.

          "Saya percaya awak tak akan tingggalkan saya walau apapun yang terjadi."

          Berita terkini kini bersiaran di saluran televisyen utama Jepun. Pemberita bersedia menyampaikan berita terkini yang baru diterima stesyen penyiaran sebentar tadi.

          "Berita terkini bersiaran secara langsung. Ikon Negara Jepun, Taeko Tradings yang kehilangan pengerusinya beberapa hari yang lalu kini kehilangan hampir 50 peratus saham utamanya."

          Sakura dan Yuki terkejut.

          "Beberapa minit yang lalu, 50 peratus saham utama Taeko Tradings telah dibeli dan kini Pengerusi Taeko Tradings telah disahkan kehilangan kuasa utamanya dalam Taeko Tradings. Kini pemegang majoriti saham Taeko Tradings enggan mendedahkan identitinya dan hanya ingin Jepun mengenalinya dengan nama T. Sekian untuk berita terkini."

          Sakura memandang Yuki dengan perasaan tidak percaya.

          "T? Siapa T? Tentu dia dalang di sebalik kehilangan Papa."

          "Saya juga fikir begitu, Sakura. Tetapi, buat masa sekarang kita tak boleh lakukan apa-apa. Saya akan berbincang dengan Doktor Yamada tentang ini."

            Kejutan buat Negara Jepun, kebahagiaan buat seorang lelaki. Dia tersenyum sendirian melangkah meninggalkan skrin besar.

          Malam itu Sakura berfikir. Kehilangan Papa. Kepulangan Tanaka. Penjualan Saham. Sekarang T. Apa kaitan mereka dengan semua ini? Tiba-tiba dia terdengar suara Tanaka berbisik di dapur. Sakura bersembunyi di sebalik dinding dan memasang telinga.

          "Bodoh! Kita tak boleh benarkan dia balik! Rosaklah rancangan aku untuk mengahwini Sakura nanti!"

          Sakura yang terdengar menahan nafasnya. Dia seakan tidak percaya. Memang Tanaka dalang di sebalik semua ini. Tentu ini ada kaitan dengan Papa yang menghantarnya ke Amerika sebaik sahaja Papa tahu perasaan Tanaka padanya dahulu.

          "Tanaka! Apa makna semua ini?"

          Tanaka terkejut Sakura tiba-tiba muncul di belakangnya. Ini memang tidak ada langsung dalam rancangannya.

          "Makna apa?"

          "Jangan berpura-pura lagi. Saya sudah dengar semua yang awak bualkan."

          Senyuman Tanaka mati.

          "Jadi? Apa yang awak boleh buat? Hanya dengan satu panggilan nyawa Pengerusi Taeko Tradings akan melayang."

          Tanaka ketawa terbahak-bahak. Sakura menggigit bibir.

          "Awak memang kejam. Inikah balasan awak setelah Papa menjaga awak selama ini?"

          "Kejam? Siapa sebenarnya yang kejam? Saya atau Papa? Semua ini salah Papa sendiri. Walaupun dia tahu betapa saya mencintai awak tapi dia sanggup menghantar saya ke Amerika untuk memisahkan kita.."

          "Pisahkan kita? Apa yang awak mengarut Tanaka? Pada saya awak hanya seorang abang yang saya sangat hormati. Tetapi sekarang tidak lagi. Hati saya cuma milik Yuki."

          Tanaka menghentak meja.

          "Abang? Jangan buat lawak Sakura. Awak tidak ingatkah memori kita? Saya yang berada di sisi awak sepanjang masa! Saya yang bersama awak ketika awak menangis ketika awak ketawa! Saya dan bukan Yuki!"

          "Kerana itu saya katakan awak tidak ubah seperti seorang abang yang tidak pernah saya ada. Saya menyayangi awak hanya sebagai seorang adik kepada seorang abang. Tidak pernah lebih dari itu."

          Tanaka mengangkat tangannya untuk menampar Sakura tetapi sepasang tangan pantas menghalangnya.

          "Yuki."

          "Maaf Tanaka. Dengan satu jari pun kau tidak boleh sentuh Sakura. Maaf hancurkan harapan kau tapi, dia milik aku sekarang dan selamanya akan menjadi milik aku."

          Tanaka menarik tangannya dari genggaman Yuki. Dia merenung Yuki. Tajam tanpa berkelip. Akhirnya dia ketawa terbahak-bahak. Makin lama semakin kuat. Rumah agam Taeko bergema dengan tawanya. Yuki menarik Sakura berdiri di belakangnya.

          "Heroic. Tapi kau lupa sesuatu, Yuki. Presiden Taeko Tradings masih lagi dalam genggaman aku. Satu panggilan akan buat Jepun kehilangan ikon nombor satu. Lagipun Sakura, awak tak kenal atau lebih tepat lagi tidak tahu langsung latar belakang Yuki."

          Yuki terdiam.

         "Kalau awak nak tahu, lelaki yang bernama Yuki di hadapan awak sekarang ini sebenarnya seorang penipu. Jika awak mahu tahu, pertemuan awak dengannya telah dirancang dari mula. Ketika awak hampir beku dalam salji sehingga hari ini semuanya berjalan dalam rancangannya."

          "Rancangan? Apa makna semua ini Yuki?"

          Tanaka kembali tertawa.

          "Awak masih tak faham lagi, Sakura? Yuki juga sama seperti saya. Matanya bukan memandang awak tetapi nama keluarga Taeko yang awak bawa. Dia bersama awak hanya kerana nama awak Taeko Sakura. Semuanya ada dalam setiap dokumen ini."

          Tanaka membelek-belek helaian kertas di tangannya.

           "Yuki akan kehilangan syarikatnya dan jatuh muflis. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan syarikatnya adalah dengan menggunakan nama Taeko."

          Sakura terdiam. Hatinya sakit. Benar-benar sakit. Yuki memegang tangan Sakura. Air mata Sakura menitis satu-persatu.

          "Dengar dulu penjelasan saya, Sakura."

          Diam- diam Sakura sudah membuat keputusan. Sakura melepaskan tangan Yuki. Langkahnya perlahan meninggalkan Yuki. Tanaka tersenyum lebar.

          "Tidak ada apa yang harus saya dengar lagi. Mencintai saya hanya kerana nama Taeko yang saya bawa? Perlukah awak pergi sejauh ini hanya kerana nama Taeko yang saya bawa? Melindungi saya dengan nyawa awak? Mengarut. Semua itu juga tipu helah awak, Yuki?"

          Sakura menanggalkan cincin di jari manisnya. Cincin itu dicampak pada Yuki.

          "Mulai hari ini saya tidak mahu melihat muka awak di depan saya lagi."

          Sakura membuka peti besi di ruang tamu dan mengeluarkan sejumlah besar wang kertas.

          "Jumlah yang saya ada dengan saya semuanya lima juta. Ini yang awak mahu dari awal bukan? Ambil dan jangan pernah muncul di hadapan saya lagi."

          Sakura mencampakkan duit itu ke wajah Yuki. Kertas bernilai itu bertaburan. Yuki tidak bersuara. Yuki melangkah keluar dengan hanya membawa cincin yang Sakura campak padanya. Wajahnya kelat. Sakura terduduk di situ. Air matanya tidak berhenti mengalir. Seperti hujan yang kini membasahi bumi malam itu. Tanaka tersenyum sendirian. Dia bernasib baik kerana berjaya dengan rancangan B. Kini tidak akan ada lagi lelaki yang bernama Yuki yang akan menggagalkan rancangannya untuk memiliki Sakura.

-BERSAMBUNG-

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved mylittlesecrettoybox.blogspot.com