Sakura membuang pandangannya ke luar tingkap. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia sembunyi di bawah selimut hingga ke akhir hayatnya. Malu tak terkata. Tangan Sakura menggenggam erat kuali. Kepada sesiapa yang mengenali Sakura tentu tahu bahawa perbuatan Sakura memegang kuali bukan bererti dia akan menunjukkan bakatnya dalam bidang masakan. Memang tidak mungkin. Fikiran Sakura ligat berfikir. Agaknya kalau dihantukkan kuali itu pada kepalanya, mungkinkah dia akan hilang ingatan? Atau mungkin juga dia akan terus tidur untuk jangka waktu yang lama. Sakura senyum lebar. Jelas aura kejahatan terpancar di wajahnya.
Doktor Yamada masuk ke dapur. Doktor Yamada dan Sakura sama-sama terperanjat. Lebih memeranjatkan Doktor Yamada ialah riak wajah senyuman kejam Sakura. Nasib baik tidak ada sakit jantung. Kalau ada mesti Doktor Yamada sudah keras di situ. Sakura menyembunyikan kuali itu di belakangnya.
"Doktor, bagaimana keadaan Yuki?"
"Yuki beransur stabil. Jangan risau. Luka tikaman di perutnya tidak mencederakan organ yang penting pun. Mungkin dalam lebih kurang dua ke tiga minggu pasti dia akan sembuh seperti biasa. Sakura, boleh saya tanya sesuatu?"
"Boleh. Ada apa doktor?"
"Kenapa dengan kuali dan riak wajah kejam tu?"
Senyuman kejam Sakura kembali terukir. Dia merapati Doktor Yamada dan berbisik.
"Doktor, kalau saya hantukkan kuali ini pada kepala Yuki rasanya dia akan hilang ingatan tak?"
Doktor Yamada pantas merampas kuali itu dari tangan Sakura. Kuali diletakkan semula di atas rak. Sakura mencebikkan bibirnya.
"Bukan setakat hilang ingatan, Cik Sakura. Hilang nyawa pun boleh. Jangan nak buat kerja gila."
"Doktor ni. Saya berguraulah. Tapi, bukankah bagus kalau tiba-tiba Yuki tak ingat langsung apa yang terjadi malam semalam."
Sakura mengeluh. Doktor Yamada tergelak kecil.
"Cik Sakura. Hilang ingatan tu mustahil. Cik Sakura janganlah risau. Encik Yuki faham. Cik Sakura kan cin..."
Belum sempat Doktor Yamada menghabiskan ayatnya pantas Sakura menekup mulut doktor itu. Wajahnya merah padam seperti ketam yang digoreng dalam minyak panas.
"Janganlah cakap. Malulah saya."
Doktor Yamada tergelak.
"Cik Sakura. Saya rasa lebih baik saya balik ke hospital sekarang."
"Sekarang? Doktor, jangan tinggalkan saya."
"Mana boleh. Saya ada pesakit lain. Encik Yuki kan ada."
Doktor Yamada mengusik Sakura sambil mengenyitkan matanya. Belum sempat Sakura membalas apa-apa, Doktor Yamada segera berlari ke keretanya. Senyumannya lebar terukir di wajahnya. Sekali-sekala dia melambai-lambai pada Sakura. Nombor telefon Pengerusi Taeko Tradings segera didail.
"Tuan jangan risau. Plan kita menjadi."
"Bagus.Laporkan semuanya lagi pada saya."
Belum sempat Doktor Yamada menjawab, kedengaran bunyi tembakan dalam telefonnya. Jeritan Pengerusi Taeko Tradings juga kedengaran.
"Tuan! Tuan!"
Tidak ada jawapan. Doktor Yamada segera memandu menuju ke rumah agam Taeko.
Fikiran Sakura melayang-layang teringatkan peristiwa malam Krismas itu. Tak sangka Yuki sebenarnya sedar dan dengar setiap perkataan yang diucapkannya. Memikirkan ciuman itu. Sakura tak tentu arah. Ke hulu ke hilir dalam rumah itu. Setiap kata-kata Yuki juga terngiang-ngiang di cuping telinganya. Hati Sakura kembali berdebar-debar. Dup dap dup dap. Sekali-sekala Sakura memegang dadanya. Dia ingin memastikan jantungnya tidak terkeluar dari dadanya.
"Sakura."
Mendengarkan suara Yuki yang memanggil namanya tiba-tiba lebih membuatkan hatinya berdegup lebih kencang. Sakura berulang kali bermonolog pada dirinya.
"Sakura, jangan panik. Jangan panik. Anggap sahaja ia tidak terjadi. Yuki tak tahu. Anggap sahaja Yuki tidak sedar."
Sakura melangkah masuk ke dalam bilik. Yuki masih lagi terbaring dengan wajah pucatnya. Tiba-tiba Sakura tidak dapat menahan rasa sebak yang bermain-main di dadanya ketika melihat keadaan Yuki. Bukankah salahnya juga yang menyebabkan Yuki terpaksa menanggung kesakitan itu. Sudahnya, Sakura berlari ke sisi Yuki dan menangis seperti anak kecil yang dirampas permainannya.
"Maafkan saya Yuki. Ini semua salah saya."
"Jangan cakap macam tu, Sakura. Bukankah memang tugas saya melindungi satu-satunya perempuan yang saya cintai?"
Sakura tergamam. Benarkah apa yang didengarinya? Tangannya spontan mencubit pipinya. Seketika Sakura mengaduh sakit dan menggosok pipinya. Dia tidak bermimpi. Lelaki ego yang keras kepala ini baru sahaja meluahkan perasaannya. Yuki tergelak melihat gelagat Sakura. Kepala Sakura diusap lembut. Sakura tersenyum lebar.
"Tengok. Sukanya dia."
Walaupun luka tikaman dirasakan berbisa namun Yuki sempat mengusik Sakura. Sakura ingin mencubit Yuki tetapi Yuki pantas mengelak. Matanya terus ditutup.
"Orang sakit mana boleh kena cubit."
"Amboi-amboi. Orang sakit. Cari pasal tak sakit ya?"
Yuki tergelak melihat Sakura memuncungkan mulutnya. Tiba-tiba dia teringat yang dia masih lagi belum memberikan hadiah Krismas pada Sakura. Yuki kembali duduk. Tangannya mencapai sesuatu dari dalam laci.
"Saya tahu saya sepatutnya melutut jika saya ingin memberi hadiah Krismas ini tapi dengan keadaan sekarang rasanya mustahil. Tak mengapa kan jika saya diberi kelonggaran sedikit?"
"Hah?"
Sakura pening. Melutut? Kelonggaran? Apa yang Yuki merepek ni?
Yuki membuka bekas di tangannya. Sakura dapat melihat sebentuk cincin di dalamnya. Yuki mengeluarkan cincin itu. Tangan Sakura dipegang erat.
"Taeko Sakura."
Sakura mengangguk sahaja ketika Yuki menyebut namanya. Dia benar-benar terkejut dengan kejutan yang disediakan Yuki. Yuki terus tersenyum.
"Sakura, terima kasih kerana lari dari rumah dan hampir beku di depan rumah saya. Jika tidak tentu saya tidak berjumpa dengan awak dan tidak dapat memahami erti cinta yang sebenar. Sepanjang lima bulan awak hadir dalam hidup saya, awak benar-benar mengubah pandangan saya. Awak mengajar saya erti cinta yang sebenar dan membuat saya bahagia. Kini, giliran saya pula untuk membahagiakan awak. Sakura, untuk itu sudikah awak menjadi sahabat, kekasih, teman hidup saya? Sudikah awak menjadi milik saya untuk selama-lamanya?"
Sakura tidak dapat menahan air matanya. Dia pantas memeluk Yuki.
"Sudah tentu Yuki. Sudah tentu saya sudi menjadi milik awak. Lelaki yang keracunan makanan dan ditikam pada malam Krismas untuk saya."
Yuki tergelak. Yuki memeluk Sakura erat. Dia benar-benar gembira. Cincin disarungkan ke jari Sakura.
"Tidak ada sesiapa yang boleh memisahkan kita."
Sakura mengangguk. Tidak ada sesiapa yang boleh memisahkan mereka. Yuki merapatkan wajahnya pada Sakura. Belum sempat Yuki menghadiahkan ciuman pada Sakura, pintu rumah Yuki diketuk bertalu-talu. Masing-masig terkejut.
"Cik Sakura, ini Doktor Yamada. Tolong buka pintu."
Sakura segera membuka pintu mendengarkan suara Doktor Yamada memanggil namanya. Yuki perlahan-lahan berjalan ke pintu juga. Sakura berdebar melihat wajah panik Doktor Yamada.
"Cik Sakura. Tuan Pengerusi. Papa Cik Sakura."
"Kenapa dengan Papa?"
"Tuan Pengerusi hilang."
"Apa?! Papa hilang?"
Doktor Yamada menceritakan segala-galanya. Tembakan yang kedengaran sebelum talian telefon dipadamkan dan ketika dia tiba di rumah agam dan melihat semua pengawal cedera ditembak dan Pengerusi Taeko Tradings yang hilang. Sakura terkejut. Dia seakan tidak dapat mempercayai berita yang disampaikan oleh doktor pertengahan umur itu. Yuki juga terkejut. Yuki dapat membaca kerisauan di wajah Sakura. Yuki memeluk Sakura erat.
"Jangan risau. Saya sendiri akan cari Papa awak."
Tiba-tiba,
"Sakura."
Sakura memandang ke arah suara yang memanggilnya. Seorang lelaki yang sangat dikenalinya berdiri di sisi sebuah kereta. Lelaki itu tersenyum melihat wajah Sakura. Lelaki itu berlari ke arah Sakura, menarik tangan Sakura dan memeluk Sakura erat. Sakura dan Yuki tergamam. Sakura menolak lelaki itu sedikit.
"Tanaka?"
"Saya sudah pulang."
Sekali lagi lelaki yang Sakura panggil Tanaka itu tersenyum lebar dan kembali memeluk Sakura. Yuki menggenggam tangannya.
Benarkah tidak ada apa yang boleh memisahkan Yuki dan Sakura? Kekalkah cinta yang baru sahaja mereka bina? Benarkah tidak akan ada halangan dalam percintaan mereka?
-BERSAMBUNG-
No comments:
Post a Comment