~~WELCOME TO MY LITTLE SECRET TOY BOX. ENJOY YOUR JOURNEY FULL OF SECRET IN MY LITTLE TOY BOX.~~

Me Myself My Secret

Me Myself My Secret

Monday, 17 December 2012

Salju Putih Bunga Sakura -Episod 6-


          Sakura mengeluh sendirian. Entah kenapa hatinya tidak tenang. Kaki membawanya ke sebuah rumah kecil yang penuh dengan memori. Rumah itu kosong kini. Entah ke mana agaknya penghuni rumah itu pergi.

          Yuki. Sakura menggigit bibir. Apakah balasan yang diberikan pada Yuki benar-benar padan dengan tindakannya? Sakura menggenggam penumbuk dan meletakkan pada dadanya. Rasa sakit yang tidak tertahan. Air matanya jatuh satu-persatu. Memori dia dan Yuki kembali bermain di fikirannya.

          Dia masih ingat sewaktu Yuki hampir mati ketika ditikam pada malam Krismas. Dia masih dapat rasakan betapa dia mahu Yuki kembali padanya saat itu. Dia masih dapat rasakan keperitan ketika dia sedar bahawa dia benar-benar mencintai lelaki ego dan keras kepala itu dan mungkin akan kehilangan lelaki itu sebelum memberitahu perasaannya. Betapa sakit hatinya mengenangkan mungkin semua itu adalah lakonan Yuki semata-mata.

          Sakura mengetap giginya. Lakonan Yuki benar-benar hebat. Tidak ada cela langsung. Semuanya dirancang sempurna. Mungkinkah Yuki juga berlakon ketika ditikam? Mungkinkah perompak itu diupah oleh Yuki? Sakura kecewa. Hatinya hancur.

          Sakura nekad untuk melupakan memori bersama Yuki. Dia nekad dia harus teruskan hidup tanpa Yuki lagi. Dia merasakan tidak ada gunanya lagi dia mencintai lelaki yang menghancurkan hatinya. Tidak ada gunanya lagi mengenang memori yang hanya akan menyakitinya. Perlahan-lahan Sakura menyeka air matanya.

          Sewaktu Sakura tiba di rumah agam Taeko, Tanaka sedang menunggunya di hadapan pintu utama. Tanaka tersenyum lebar.
          “Awak masih marah pada saya, Sakura?”

          Sakura rasa menyampah. Dia malas memberikan apa-apa jawapan pada lelaki gila ini. Tanaka hanya ketawa melihat renungan tajam Sakura.

          “Sakura, saya ada hadiah untuk awak.”

          “Hadiah?”

          “Betul. Ikut saya.”

          Sakura melangkah perlahan mengikut Tanaka dari belakang. Akhirnya mereka berhenti di hadapan bilik utama. Sakura gugup. Bilik ini bilik Papa. Tanaka menyelak pintu. Sakura ternganga ketika melihat susuk tubuh yang sedang duduk di tepi tingkap. Tangannya bergari. Kakinya dirantai.

          “Papa.”

          Walaupun dalam kesakitan, Pengerusi Taeko Tradings cuba tersenyum melihat anak perempuan kesayangannya. Sakura ingin berlari memeluk papanya tetapi pantas dihalang Tanaka.

          “Sabar, Taeko Sakura. Jangan gopoh sangat.”

          “Kenapa dengan awak?”

          “Bukankah setiap perbuatan ada balasannya?Give and take.”

          “Apa yang awak nak?”

          “T. Pihak yang telah membeli lebih 50 peratus saham utama Taeko Tradings. Dalam erti kata lain, Papa awak bukan lagi pengerusi Taeko Tradings mengikut jumlah pegangan majoriti saham. Mungkin lebih jelas lagi, sebenarnya, nama keluarga Taeko sudah tidak ada nilainya lagi cuma menghiasi sebagai nama syarikat sahaja. Lebih mudah jika saya katakan yang keluarga Taeko sudah tidak berharta lagi.”

          Sakura mengetap bibir. Tanaka tersenyum sinis.

          “Jadi? Apa kaitan semua itu dengan Papa dan saya?”

          “Saya percaya awak ada soalan lain yang lebih tepat.”

          Tanaka kembali tersenyum sinis. Sakura tersedar sesuatu. Dia menerkam Tanaka. Kolar kemeja Tanaka digenggam erat.

          “Kau T? Tergamak kau buat kami macam ni? Apa salah Taeko pada kau? Bukankah Taeko yang kutip kau dulu? Bukankah Taeko yang memberi kau semua kemewahan yang kau rasai sekarang?”

          Tanaka melepaskan genggaman Sakura. Tali lehernya dibetulkan. Tanaka memetik jarinya. Dua orang lelaki lengkap berbaju hitam berdiri di sisi Papa Sakura.

          “Jangan kasar sangat, Sakura. Fikirkan risiko yang Tuan Pengerusi akan hadapi. Ops, terlupa pula. Bekas Tuan Pengerusi.”

          “Apa kau nak?”

          “Apa saya nak? Sebenarnya saya sudah dapat apa yang saya nak tapi saya rasa saya perlukan sesuatu yang boleh memberi saya jaminan dan kelebihan?”

          “Jaminan dan kelebihan?”

          “Rasanya tak perlu saya berdalih lagi. Saya perlukan awak untuk menjamin kedudukan saya sebagai Pengerusi dan sebagai Taeko.”

          “Maksud kau?”

          “Awak mesti menjadi isteri Taeko Tanaka untuk menjamin hak mutlak saya untuk semua harta keluarga Taeko dan kerana saya mencintai awak. Saya yakin dalam keadaan sekarang awak tidak akan teragak-agak membuat keputusan.”

          “Cinta? Kahwin? Dengan kau? Apa yang kau mengarut?”

         “Saya yakin awak sedar yang tak mungkin saya merepek.”

          Sekali lagi Tanaka memetik jarinya. Salah seorang lelaki berbaju hitam mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya pada dahi Papa Sakura.

          “Bagaimana jika saya beri tawaran yang awak tak boleh tolak? Kahwini saya dan sebagai ganti, nyawa Papa awak tidak akan melayang dan termasuk dua alas an yang saya katakan tadi. Lihat betapa baiknya hati saya memberi awak pilihan.”

          “Jangan dengar cakap dia, sayang. Jangan gadaikan diri kamu untuk Papa.”

          Sakura membisu memerhatikan pistol yang kelihatan baru di dahi Papanya. Peluh menitis di dahi Papa Sakura dan Sakura sendiri. Tiba-tiba muncung pistol dialihkan.

          “Begini, apa kata saya beri awak masa seminggu. Awak tak boleh keluar dari rumah ini dalam masa seminggu itu. Fikir baik-baik Sakura. Kahwini saya atau nyawa Papa awak melayang.”

          Tanaka tersenyum sinis sebelum melangkah pergi.

          “Kurung orang tua itu di bilik bawah tanah.”

          Dua orang lelaki berbaju hitam mengangguk dan mengangkat Papa Sakura untuk dibawa ke bilik bawah tanah. Sakura berlari mendapatkan Papanya tetapi pantas ditarik Tanaka.

          “Papa!”

          “Jangan risaukan Papa, sayang.”

          “Sakura minta maaf. Sakura sayang Papa!”

          “Papa juga sentiasa sayang kamu. Jangan ikut kehendak dia!”

          “Bisingnya. Senyapkan orang tua tu.”

          Salah seorang lelaki berbaju hitam menghentak belakang kepala Papa Sakura dengan pistol. Papa Sakura rebah tidak sedarkan diri. Dua lelaki itu terus mengheret badan Papa Sakura ke bilik bawah tanah.

          “Papa!”

          “Jangan risau. Dia cuma pengsan. Jika awak mahu dia selamat, awak cuma perlu kahwini saya. Ingat, pilihan di tangan awak. Awak atau Papa awak?”

          Tanaka ketawa dengan kuat sambil berjalan meninggalkan Sakura bersendirian. Sakura terduduk. Air matanya jatuh satu-persatu. Tidak tertahan rasa sakit di hatinya. Mungkinkah dia harus pasrah sahaja menerima kehadiran Tanaka dalam hidupnya? Sakura memejamkan matanya dan menggenggam kedua-dua tangannya. Diam-diam Sakura berdoa dalam hatinya buat pertama kalinya.

          “Tuhanku, memang benar aku tidak pernah percaya akan kewujudan-Mu tetapi jika benar Kau wujud, hanya untuk sekali ini, berilah aku jalan keluar.”

          Doktor Yamada menghampiri seorang lelaki bersut putih.

          “Tuan. Kini keberadaan Tuan Pengerusi sudah diketahui. Taeko Sakura juga berada berdekatan. Taeko Tanaka juga sedang sibuk memujuk Taeko Sakura mengahwininya.”

          Lelaki bersut putih tersenyum.

          “Bagus. Tidak sangka musang licik sudah masuk perangkap kita. Bersiap sedia Doktor Yamada. Kita akan mulakan rancangan kita bila-bila masa sahaja sekarang.”

          “Baik, Tuan.”

          Doktor Yamada tunduk sedikit dan kemudian berjalan pergi meninggalkan lelaki bersut putih itu. Lelaki bersut putih itu mengukir senyuman sambil ekor matanya memerhati sahaja Doktor Yamada melangkah pergi.

-BERSAMBUNG-

Monday, 10 December 2012

Salju Putih Bunga Sakura -episod 5-

          Tanaka masih lagi duduk bersebelahan dengan Sakura. Dia kelihatan seperti tidak mahu berganjak langsung dari posisinya sekarang.. Yuki menggenggam penumbuk. Wajah masamnya tidak memberi apa-apa kesan langsung pada Tanaka. Yuki segera teringat pesan Doktor Yamada.

          "Doktor, siapa Tanaka? Apa hubungan dia dengan Sakura?"

          "Cemburu?"

          "Siapa yang tidak cemburu? Tiba-tiba peluk girlfriend orang. Kalau saya tak sakit, memang dah lama kena lanyak dia tu."

          Wajah Yuki masih lagi mencuka. Entah kenapa dia masih merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki misteri bernama Tanaka.

          "Nama panggilannya Tanaka. Nama penuh Taeko Tanaka."

          "Taeko?"

          "Ya, Taeko. Satu-satunya sepupu yang Sakura ada. Anak yatim piatu dan dijaga oleh Tuan Pengerusi sejak kecil memandangkan Tuan Pengerusi satu-satunya ahli keluarga Tanaka. Membesar bersama sejak kecil membuatkan mereka sangat rapat. Seperti adik-beradik. Ada juga yang menyatakan mereka seperti mempunyai hubungan lebih dari sekadar keluarga tetapi Tuan Pengerusi tetap dengan keputusan bahawa mereka tidak lebih dari keluarga sahaja. Untuk meredakan situasi dan gosip, Tuan Pengerusi menghantar Tanaka untuk menguruskan syarikatnya di Amerika. Ternyata Tanaka masih cekap seperti dulu. Walaupun tidak ada berita dikeluarkan, Tanaka sudah tahu tentang kehilangan Tuan Pengerusi."

          "Amerika?"

          "Ya. Yuki, saya harap awak berhati-hati. Bila-bila masa sahaja rahsia awak akan terbongkar. Jangan pandang rendah kecekapan Tanaka. Personalitinya yang sukar diduga lebih membuatkann hubungan awak dan Sakura dalam bahaya."

          "Saya tahu lambat-laun saya harus beritahu Sakura perkara sebenar. Cuma saya harap bukan dalam keadaan Sakura mendengarnya dari pihak lain."

          Doktor Yamada cuma mengangguk. Tanaka masih lagi berada di sisi Sakura. Menenangkan Sakura yang menceritakan keadaannya. Yuki yang melihat semua itu berasa lemah. Entah kenapa dia fikir dia tidak mampu lakukan apa-apa untuk Sakura. Sakura walaupun hampir dengannya tetapi dirasakan jauh sekali.

          Rumah agam Taeko yang gah seperti istana kini suram dan kosong sejak kehilangan Pengerusi Taeko Tradings itu. Keberadaannya masih tidak diketahui. Pihak polis bertungkus-lumus melakukan siasatan. Ikon penting Negara Matahari Terbit itu harus ditemui segera.

          Yuki kini tinggal bersama Sakura dan Tanaka di rumah agam itu. Yuki berasa janggal. Setiap pergerakannya seperti diperhatikan. Dia juga tidak dapat meluangkan begitu banyak masa bersama Sakura kerana Tanaka sentiasa bersamanya. Yuki bengang. Mengapa lelaki bernama Tanaka itu harus berkepit 24 jam dengan Sakura? Sekurang-kurangnya berilah sedikit ruang supaya dia dapat bersama Sakura pula.
Tetapi hari ini, Tanaka katanya mempunyai urusan di bandar. Sebelum bertolak ke bandar, Tanaka memeluk Sakura. Yuki yang memerhati ingin memberi amaran kepada Tanaka tetapi pantas dihalang oleh Doktor Yamada. Doktor Yamada menggeleng perlahan.

          "Situasi seperti sekarang ini tidak sesuai untuk awak mencampur-adukkan emosi awak. Lagipun, dia belum betul-betul layak lagi untuk menjadi lawan awak. Awak hanya akan memburukkan lagi keadaan."

          Yuki berundur sedikit. Dia perasan ada benarnya juga kata-kata Doktor Yamada. Yuki bergegas berlari ke sisi Sakura saat Tanaka sudah memasuki perut keretanya. Tangan Sakura ditarik perlahan. Yuki cuma ingin berada bersama Sakura saat ini. Tanaka memerhati dari dalam perut keretanya. Tangannya pantas mendail nombor seseorang.

          "Tanaka bercakap. Saya mahu awak siasat lelaki yang bernama Yuki. Laporkan pada saya sebaik sahaja ada apa-apa berita mengenai lelaki itu."

          "Baik, Tuan. Jangan risau. Saya akan selesaikan secepat yang boleh."

          "Satu lagi, macam mana keadaan orang tua tu?"

          "Segala-galanya berjalan lancar, Tuan. Tak lama lagi saya pasti berita ini akan menggemparkan seluruh Jepun."

          Tanaka mematikan talian dan ketawa terbahak-bahak. Hatinya puas tetapi belum cukup puas lagi. Senyuman kembali terukir di bibirnya.

          "Sakura, apa yang awak bualkan dengan Tanaka?"

          Sakura tergelak kecil mendengar pertanyaan Yuki.

          "Awak cemburu?"

          Wajah Yuki merona merah. Ego menahannya dari bersuara. Kopi ais di tangannya serta-merta diteguk. Sakura hanya tersenyum. Sah cemburu. Benarlah Yuki mencintainya. Sakura ingin ketawa lagi tetapi ditahan kerana bimbang Yuki akan merajuk pula nanti. Susah untuk berurusan dengan lelaki yang egonya setinggi Menara Tokyo. Sudahnya, pipi Yuki diusap perlahan.

          "Jangan risau. Dari dulu sehingga saat ini Tanaka hanya seorang abang yang saya hormati. Lagipun, bukankah awak yang saya pilih?"

          Yuki tidak dapat menahan senyumannya. Perasaan gembira dan bangga bercampur dalam hatinya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia melonjak dan menari kegembiraan di situ tetapi sekali lagi ego menahannya. Tangan Sakura digenggam.

          "Saya berjanji akan mencari papa awak sehingga jumpa. Saya akan pertaruhkan nyawa saya untuk awak."

          Sakura tersenyum.

          "Saya percaya awak tak akan tingggalkan saya walau apapun yang terjadi."

          Berita terkini kini bersiaran di saluran televisyen utama Jepun. Pemberita bersedia menyampaikan berita terkini yang baru diterima stesyen penyiaran sebentar tadi.

          "Berita terkini bersiaran secara langsung. Ikon Negara Jepun, Taeko Tradings yang kehilangan pengerusinya beberapa hari yang lalu kini kehilangan hampir 50 peratus saham utamanya."

          Sakura dan Yuki terkejut.

          "Beberapa minit yang lalu, 50 peratus saham utama Taeko Tradings telah dibeli dan kini Pengerusi Taeko Tradings telah disahkan kehilangan kuasa utamanya dalam Taeko Tradings. Kini pemegang majoriti saham Taeko Tradings enggan mendedahkan identitinya dan hanya ingin Jepun mengenalinya dengan nama T. Sekian untuk berita terkini."

          Sakura memandang Yuki dengan perasaan tidak percaya.

          "T? Siapa T? Tentu dia dalang di sebalik kehilangan Papa."

          "Saya juga fikir begitu, Sakura. Tetapi, buat masa sekarang kita tak boleh lakukan apa-apa. Saya akan berbincang dengan Doktor Yamada tentang ini."

            Kejutan buat Negara Jepun, kebahagiaan buat seorang lelaki. Dia tersenyum sendirian melangkah meninggalkan skrin besar.

          Malam itu Sakura berfikir. Kehilangan Papa. Kepulangan Tanaka. Penjualan Saham. Sekarang T. Apa kaitan mereka dengan semua ini? Tiba-tiba dia terdengar suara Tanaka berbisik di dapur. Sakura bersembunyi di sebalik dinding dan memasang telinga.

          "Bodoh! Kita tak boleh benarkan dia balik! Rosaklah rancangan aku untuk mengahwini Sakura nanti!"

          Sakura yang terdengar menahan nafasnya. Dia seakan tidak percaya. Memang Tanaka dalang di sebalik semua ini. Tentu ini ada kaitan dengan Papa yang menghantarnya ke Amerika sebaik sahaja Papa tahu perasaan Tanaka padanya dahulu.

          "Tanaka! Apa makna semua ini?"

          Tanaka terkejut Sakura tiba-tiba muncul di belakangnya. Ini memang tidak ada langsung dalam rancangannya.

          "Makna apa?"

          "Jangan berpura-pura lagi. Saya sudah dengar semua yang awak bualkan."

          Senyuman Tanaka mati.

          "Jadi? Apa yang awak boleh buat? Hanya dengan satu panggilan nyawa Pengerusi Taeko Tradings akan melayang."

          Tanaka ketawa terbahak-bahak. Sakura menggigit bibir.

          "Awak memang kejam. Inikah balasan awak setelah Papa menjaga awak selama ini?"

          "Kejam? Siapa sebenarnya yang kejam? Saya atau Papa? Semua ini salah Papa sendiri. Walaupun dia tahu betapa saya mencintai awak tapi dia sanggup menghantar saya ke Amerika untuk memisahkan kita.."

          "Pisahkan kita? Apa yang awak mengarut Tanaka? Pada saya awak hanya seorang abang yang saya sangat hormati. Tetapi sekarang tidak lagi. Hati saya cuma milik Yuki."

          Tanaka menghentak meja.

          "Abang? Jangan buat lawak Sakura. Awak tidak ingatkah memori kita? Saya yang berada di sisi awak sepanjang masa! Saya yang bersama awak ketika awak menangis ketika awak ketawa! Saya dan bukan Yuki!"

          "Kerana itu saya katakan awak tidak ubah seperti seorang abang yang tidak pernah saya ada. Saya menyayangi awak hanya sebagai seorang adik kepada seorang abang. Tidak pernah lebih dari itu."

          Tanaka mengangkat tangannya untuk menampar Sakura tetapi sepasang tangan pantas menghalangnya.

          "Yuki."

          "Maaf Tanaka. Dengan satu jari pun kau tidak boleh sentuh Sakura. Maaf hancurkan harapan kau tapi, dia milik aku sekarang dan selamanya akan menjadi milik aku."

          Tanaka menarik tangannya dari genggaman Yuki. Dia merenung Yuki. Tajam tanpa berkelip. Akhirnya dia ketawa terbahak-bahak. Makin lama semakin kuat. Rumah agam Taeko bergema dengan tawanya. Yuki menarik Sakura berdiri di belakangnya.

          "Heroic. Tapi kau lupa sesuatu, Yuki. Presiden Taeko Tradings masih lagi dalam genggaman aku. Satu panggilan akan buat Jepun kehilangan ikon nombor satu. Lagipun Sakura, awak tak kenal atau lebih tepat lagi tidak tahu langsung latar belakang Yuki."

          Yuki terdiam.

         "Kalau awak nak tahu, lelaki yang bernama Yuki di hadapan awak sekarang ini sebenarnya seorang penipu. Jika awak mahu tahu, pertemuan awak dengannya telah dirancang dari mula. Ketika awak hampir beku dalam salji sehingga hari ini semuanya berjalan dalam rancangannya."

          "Rancangan? Apa makna semua ini Yuki?"

          Tanaka kembali tertawa.

          "Awak masih tak faham lagi, Sakura? Yuki juga sama seperti saya. Matanya bukan memandang awak tetapi nama keluarga Taeko yang awak bawa. Dia bersama awak hanya kerana nama awak Taeko Sakura. Semuanya ada dalam setiap dokumen ini."

          Tanaka membelek-belek helaian kertas di tangannya.

           "Yuki akan kehilangan syarikatnya dan jatuh muflis. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan syarikatnya adalah dengan menggunakan nama Taeko."

          Sakura terdiam. Hatinya sakit. Benar-benar sakit. Yuki memegang tangan Sakura. Air mata Sakura menitis satu-persatu.

          "Dengar dulu penjelasan saya, Sakura."

          Diam- diam Sakura sudah membuat keputusan. Sakura melepaskan tangan Yuki. Langkahnya perlahan meninggalkan Yuki. Tanaka tersenyum lebar.

          "Tidak ada apa yang harus saya dengar lagi. Mencintai saya hanya kerana nama Taeko yang saya bawa? Perlukah awak pergi sejauh ini hanya kerana nama Taeko yang saya bawa? Melindungi saya dengan nyawa awak? Mengarut. Semua itu juga tipu helah awak, Yuki?"

          Sakura menanggalkan cincin di jari manisnya. Cincin itu dicampak pada Yuki.

          "Mulai hari ini saya tidak mahu melihat muka awak di depan saya lagi."

          Sakura membuka peti besi di ruang tamu dan mengeluarkan sejumlah besar wang kertas.

          "Jumlah yang saya ada dengan saya semuanya lima juta. Ini yang awak mahu dari awal bukan? Ambil dan jangan pernah muncul di hadapan saya lagi."

          Sakura mencampakkan duit itu ke wajah Yuki. Kertas bernilai itu bertaburan. Yuki tidak bersuara. Yuki melangkah keluar dengan hanya membawa cincin yang Sakura campak padanya. Wajahnya kelat. Sakura terduduk di situ. Air matanya tidak berhenti mengalir. Seperti hujan yang kini membasahi bumi malam itu. Tanaka tersenyum sendirian. Dia bernasib baik kerana berjaya dengan rancangan B. Kini tidak akan ada lagi lelaki yang bernama Yuki yang akan menggagalkan rancangannya untuk memiliki Sakura.

-BERSAMBUNG-

Copyright© All Rights Reserved mylittlesecrettoybox.blogspot.com